Thursday, October 15, 2009

Jangan terlalu fikir kilauan pingat - Ramlan


TUNJUK BAKAT... Ramlan tidak melepaskan peluang
mencuba busar ketika meninjau persiapan pemanah negara ke Sukan SEA Laos di Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.


KETUA Kontinjen negara ke Sukan SEA Laos, Datuk Dr. Ramlan Aziz mahu setiap atlet yang menyertai temasya di Vientiane, Disember depan itu mempunyai keazaman untuk memperbaharui catatan peribadi terbaik masing-masing selain tidak terlalu memikirkan kilauan pingat yang mahu dimenangi, lapor SHAHRIL NIZAM ABDULLAH.

Menurut Dr. Ramlan yang juga Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), beliau mahu atlet negara tidak terlalu tertekan untuk memenangi pingat emas pada temasya itu nanti, sebaliknya memberi keputusan yang positif sekiranya catatan peribadi terbaik mereka musim ini menjadi misi utama di Laos.

"Saya nasihatkan kepada semua atlet negara yang akan ke Sukan SEA Laos supaya jangan terlalu memikirkan tentang kilauan pingat, biar perkara ini difikirkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN), ISN atau MOM," kata Ramlan ketika mengadakan lawatan ke pusat latihan atlet memanah dan olahraga di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil semalam.

"Apa yang saya mahu ialah mereka (atlet) memberi tumpuan kepada tahap prestasi terbaik mereka dalam acara masing-masing, perbaiki catatan mereka musim ini dan kemudian kita tengok apa yang terjadi.

"Ini penting supaya atlet tidak terlalu merasai tekanan dan bebanan yang diletakkan di bahu mereka. Semua ini adalah mengenai kekuatan mental, jika berjaya mengatasinya saya yakin kita mampu mencipta kemenangan," katanya lagi.

Mengenai senarai akhir atlet negara Dr. Ramlan memberitahu beliau masih belum menerima senarai 370 atlet yang akan beraksi pada temasya dwitahunan itu di Vientiane, Disember depan.

"Saya difahamkan pihak sekretariat masih belum menerima senarai akhir atlet itu lagi setakat ini, jadi saya sendiri tidak tahu siapa yang akan pergi.

"Tetapi atlet yang melepasi had kelayakan akan pergi dengan kategori A, manakala beberapa atlet akan pergi dengan kategori B.

"Begitupun, ada juga atlet atas tiket B mampu mengatasi pencapaian atlet tiket A, jadi semua ini terpulang kepada kemahuan atlet itu sendiri dan juga motivasi daripada jurulatih masing-masing."

Ketika ditanya mengenai persiapan atlet negara setakat ini, Dr. Ramlan menjelaskan bahawa beliau ketika ini sedang berjumpa atlet negara dari semasa ke semasa bagi memantau perkembangan mereka.

"Selain atlet memanah dan olahraga, saya telah jumpa beberapa lagi atlet dari pasukan lain dan telah menerima banyak informasi tentang mood dan tahap persediaan mereka.

"Sebagai CDM saya perlu berjumpa dan menjalinkan hubungan rapat dengan atlet kerana ia penting dalam mewujudkan suasana kejayaan dalam kem negara. Saya harap semuanya berjalan baik untuk kita di Laos nanti," kata Dr. Ramlan lagi.

No comments:

Post a Comment