Wednesday, October 28, 2009

500 anggota kontinjen



MALAYSIA mempersiapkan lebih 490 atlit dan pegawai ke Sukan Sea XXV di Vientiane yang beraksi dalam 20 daripada 25 acara dengan sasaran untuk membawa pulang hampir 35 pingat emas.

Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi berkata, jumlah itu sudah hampir dimuktamadkan dengan kemungkinan hanya sedikit perubahan apabila ada persatuan sukan kebangsaan mengurangkan jumlah atlit masing-masing terutama daripada Kategori B.

Dalam jumlah itu, 374 terdiri daripada atlit manakala selebih ialah jurulatih, pengurus pasukan dan pegawai sokongan yang akan cuba merealisasikan sasaran emas Malaysia pada kejohanan yang akan bermula dari 9 hingga 18 Disember ini.


"Jumlah kontinjen negara ke Sukan Sea sudah hampir dimuktamadkan," kata Kok Chi ketika ditemui di pejabat di Wisma MOM, Jalan Hang Jebat, semalam. "Majlis MOM yang bersidang baru-baru ini sudah meluluskan atlit dan pegawai yang akan berkunjung ke Vientiane.

"Mungkin jumlah atlit akan berkurangan terutama sekali mereka dalam Kategori B yang dibiayai persatuan sukan kebangsaan.

"Jumlah atlit ini adalah munasabah dan pemilihan mereka dibuat berasaskan kepada prestasi masing-masing serta kelayakan mengatasi syarat yang sudah ditetapkan," kata Kok Chi.

Antara sukan yang paling banyak menyenaraikan atlit ialah olahraga yang mengemukakan hampir 50 atlit dengan hanya 12 berjaya melepasi syarat kelayakan dan selebihnya terpaksa ditanggung Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) dengan sasaran untuk membawa pulang hanya lapan emas.

Sukan Sea XXV di Vientiane akan mempertandingkan sejumlah 25 sukan dengan 11 negara termasuk Malaysia dijangka beraksi Disember ini.

No comments:

Post a Comment