Oleh Mohd Ali Majid
bhsukan@bharian.com.my
![]() TRIO penembak elit wanita negara dari kiri Joseline, Siti Nur Masitah dan Bibiana antara penembak handalan yang turut disenaraikan ke Sukan Perpaduan Islam Kedua di Teheran. |
SKUAD elit menembak negara sudah bersedia mengharungi Sukan Perpaduan Islam Kedua di Teheran, Iran pada 16 sehingga 30 Oktober ini walaupun sudah ada ura-ura ia akan dibatalkan gara-gara Influenza A (H1N1).
Setiausaha Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM), Mejar (B) Jasni Shaari, berkata pihaknya belum dimaklumkan berkenaan kemungkinan itu dan menganggap ia akan berjalan mengikut jadual.
“Kita akan teruskan rancangan mengikut jadual yang ditetapkan dan kejohanan ini dianggap sebagai pemanas badan sebelum beraksi di Sukan Sea Laos nanti,” katanya.
Katanya, pihaknya sudah mengenalpasti 10 penembak lelaki dan wanita yang bakal membawa cabaran negara dalam acara raifal dan pistol.
Jaguh menembak pistol negara, Hasli Izwan Amir Hassan akan mengetuai cabaran penembak lelaki dalam acara pistol, manakala jaguh menembak raifal wanita, Nur Suryani Mohd Taibi mengetuai cabaran wanita.
Selain mereka, Malaysia akan menampilkan penembak yang bakal bersaing di Sukan Sea Laos 2009 Disember nanti antaranya termasuk Hafiz Adzha, Shahera Rahim Raja, Muslifah Zulkifli dan Nur Ain Ibrahim.
Trio menembak pistol negara yang kembali beraksi selepas menamatkan hukuman kerana mengambil bahan terlarang oleh ISSF Mei lalu - Bibiana Ng Pei Chin, Siti Nur Mashita Mohd Badrin dan Joseline Cheah Lee Yean - antara penembak yang turut disenaraikan.
Mereka kini menjalani latihan di Pulau Langkawi bersama rakan sepasukan seramai 19 orang dalam persiapan bukan hanya ke Sukan Sea malah Sukan Asia dan Sukan Komanwel, tahun depan.
No comments:
Post a Comment