Wednesday, July 22, 2009

Pengalaman cukup berharga - Farizal




PENJAGA gol kebangsaan, Farizal Marlias (gambar) menjadi satu- satunya pemain yang beraksi sepenuh masa pada dua perlawanan persahabatan bertemu Manchester United.

Biarpun bolos tiga kali ketika Malaysia tewas 2-3 pada perlawanan pertama dan bolos dua kali ketika tewas 0-2 pada perlawanan kedua, Farizal, 23, tetap menganggap ia suatu pengalaman yang cukup berharga.

"Dua kali bertemu kelab terbaik di dunia seperti United ini memang telah banyak memberikan pengalaman berguna kepada kami.

"Bagi saya, saya dapat belajar apabila melihat bagaimana cara mereka bermain dan betapa perlunya meningkatkan kepantasan membaca pergerakan pemain.

"Ia sedikit sebanyak menambah tahap keyakinan saya untuk beraksi pada peringkat antarabangsa," kata Farizal kepada Kosmo! semalam.

Menurut pemain yang berasal dari Temerloh, Pahang itu, dia tetap berpuas hati biarpun telah dibolosi sebanyak lima kali dalam dua perlawanan tersebut.

"Perlawanan pertama lebih baik. Saya berjaya menepis dua percubaan berbahaya daripada Dimitar Berbatov (minit ke-2) dan Wayne Rooney (ke-8). Berlaga dengan Nani ketika cuba menyelamatkan gawang juga pengalaman yang pasti akan dikenang.

"Tetapi pada perlawanan kedua berlaku masalah komunikasi di antara barisan pertahanan dan kami melepaskan dua gol awal. Ia agak mengecewakan tetapi selepas itu kami tetap berjaya mempertahankan gawang sehingga wisel pena- mat," jelasnya.

Tahun 2009 pasti menjadi tahun bertuah buat Farizal kerana sebelum ini dia sekadar menjadi penjaga gol simpanan atau dipanggil sebagai pelatih skuad kebangsaan.

"Mungkin rezeki saya tahun ini. Saya akan berusaha mengekalkan prestasi cemerlang ini sehingga aksi sebenar pada Sukan SEA di Laos, Disember nanti," katanya.

Farizal, bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) mula mewakili skuad Piala Presiden Pahang pada 2004 selepas tamat tingkatan lima.

Setahun kemudian dia menyertai kelab Shahzan Muda sebagai penjaga gol utama sehinggalah dia mengambil keputusan untuk menyertai skuad Liga Super Perlis pada awal musim ini.

Di kalangan 14 pasukan Liga Super musim ini, gawang Perlis yang dikawal Farizal hanya bolos 16 kali daripada 24 perlawanan.

No comments:

Post a Comment