Wednesday, July 22, 2009

Peminat mahu pingat emas Sukan Sea Laos

Oleh Harris Rajahdin
harajah@bharian.com.my


PEMAIN bola sepak Manchester United, Wayne Rooney (kiri) bersama Michael Carrick (kanan) meluangkan masa lapang di hari kelima di Malaysia dengan bermain golf di Kuala Lumpur Golf Club, semalam.

Rajagobal ada empat bulan akhiri penantian 20 tahun

JURULATIH kebangsaan, K Rajagobal mahukan tiga tahun tetapi di mata peminat tempatan yang dahagakan kejayaan, hanya ada empat bulan baginya untuk menamatkan penantian 20 tahun pingat emas di Sukan Sea di Laos, Disember ini.

Ia pasti satu cabaran besar untuk Rajagobal untuk memastikan emas Sukan Sea daripada anak buahnya selepas skuad negara kali terakhir memilikinya pada 1989 di Kuala Lumpur.

Peminat bola sepak yang sudah lama menunggu sinar harapan daripada skuad negara, disuntik keyakinan dengan persembahan membanggakan dalam dua perlawanan persahabatan berprestij menentang Manchester United di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Sabtu dan malam kelmarin.

Mereka yang hadir di stadium Sabtu lalu, menerima kejutan indah daripada persembahan berani penjaga gol, Mohd Farizal Marlias serta keutuhan benteng pertahanan diketuai Norhafiz Zamani Misbah yang melakukan terjahan tepat untuk menafikan jentera penggempur United yang dibarisi Wayne Rooney dan Michael Owen.

Di bahagian tengah, Amri Yahyah menampilkan kerajinan yang sinonim dengan dirinya untuk mengejar bola di setiap inci padang dan kesungguhannya itu membuahkan habuan apabila memintas hantaran ke belakang Darron Gibson yang gagal dikawal kemas penjaga gol gantian, Ben Foster bagi gol kedua Malaysia.

Sebelum itu, kapten Selangor itu meletakkan namanya kembali dalam kaca mata peminat pasukan kebangsaan apabila bertindak bijak melambungkan bola dari jarak 30 meter untuk memalukan penjaga gol, Edwin van der Sar yang berada jauh daripada gawangnya untuk gol pertama Malaysia dalam kekalahan 3-2.

K Rajagopal

Hanya satu kritikan buat pasukan kebangsaan yang dibarisi kebanyakannya pemain muda adalah kegagalan untuk menyudahkan peluang yang terhidang, yang ketara dalam perlawanan ulangan kelmarin yang berakhir dengan kekalahan 2-0.

Namun Rajagobal tetap menaruh kepercayaan kepada skuad mudanya bagi memikul tugasan dalam acara bawah umur 23 tahun di Laos nanti, sambil menambah bahawa ia tidak bermakna pintu tertutup buat pemain lain.

"Sudah pasti kami akan melihat pemain lain, mungkin satu atau dua pemain. Tidak banyak perubahan yang akan dilakukan, hanya perubahan minimum.

"Kami memerlukan pengalaman seperti ini (menentang Manchester United). Ia adalah bagus untuk pemain," katanya.

Pujian seharusnya diberikan buat anak buah Rajagobal sepanjang minggu ini, namun pengendali kebangsaan itu pastinya menyedari ujian sebenar adalah di Laos yang akan menentukan sama ada aksi dalam dua persahabatan dengan United itu adalah titik tolak kebangkitan atau harapan palsu semata-mata.

No comments:

Post a Comment