Wednesday, July 22, 2009

Ada petanda bawa pulang emas


PEMAIN Manchester United, Jonny Evans bersaing dengan pemain negara, Azmi Muslim pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin.


SKUAD negara tampil dengan aksi berbeza pada dua perlawanan persahabatan menentang Manchester United baru-baru ini.

Perlawanan pertama petang Sabtu lalu menyaksikan skuad bimbingan K. Rajagobal itu mempamerkan aksi bertenaga sebelum kalah tipis 2-3.

Pada perlawanan kedua kelmarin, rentak skuad negara agak sumbang dan tewas 0-2.

Jika dinilai daripada dua perlawa- nan tersebut, skuad kebangsaan yang majoritinya dibarisi pemain bawah 23 tahun (hanya empat pemain melebihi 23 tahun) telah memperlihatkan kualiti untuk meraih pingat emas pada Sukan SEA 2009 di Laos, Disember depan.

Tetapi mereka perlu mengulangi prestasi seperti yang dipamerkan pada perlawanan pertama, aksi yang penuh bertenaga dan menghiburkan.

Bagi merealisasikan sasaran emas di Laos, rentak konsisten perlu diteruskan sepanjang lima bulan akan datang.

Harapan rakyat Malaysia terhadap skuad B-23 ini pasti menggunung kerana kali terakhir Malaysia berjaya meraih pingat emas acara bola sepak Sukan SEA adalah pada 1989 ketika ia berlangsung di Kuala Lumpur.

Pada tahun 2001, Malaysia hampir menamatkan kemarau itu tetapi sekadar meraih pingat perak selepas tewas 0-1 kepada Thailand pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam.

Sukan SEA 2003 di Vietnam dan 2005 di Filipina sekadar menyaksi- kan Malaysia meraih pingat gangsa tetapi malang menimpa mereka pada Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand apabila skuad B-23 kebangsaan gagal melangkah ke separuh akhir.

Bagi Sukan SEA 2009 di Laos, Malaysia memiliki barisan pemain terbaik kerana lapan daripada mereka telah mempunyai pengalaman beraksi pada temasya tersebut dua tahun lalu.

Mereka terdiri daripada Aidil Zafuan Radzak, Zaquan Adha Radzak, Safiq Rahim, Khyril Muhymeen Zambri, Norshahrul Idlan Talaha, Bunyamin Umar, Amirulhadi Zainal dan Syed Adney Syed Hussein.

Justeru, apa yang perlu dilakukan Rajagobal ialah untuk memantapkan lagi setiap posisi terutama jentera serangan yang dilihat masih tumpul.

"Pemain kita masih kurang bijak dari segi membuat keputusan cepat terutama ketika mendapat peluang terbuka di depan pintu gol lawan. Itu dapat dilihat pada dua perlawanan bertemu United," kata Rajagobal pada sidang media selepas perlawa- nan kelmarin.

Kedua-dua gol yang diperoleh Malaysia ketika tewas 2-3 kepada United pada perlawanan pertama Sabtu lalu dijaringkan pemain senior, Amri Yahyah yang sudah pun menjang- kau usia 28 tahun dan dia tidak akan beraksi pada Sukan SEA di Laos nanti.

Lantas tugas penggempur perlu dipikul oleh pemain-pemain muda yang ada dalam skuad B-23 ini iaitu Zaquan, Norshahrul, Ahmad Shakir Md. Ali, Farderin Kadir, Stanley Bernard Samuel atau Rajagobal akan memanggil beberapa pemain baru termasuk Ahmad Fakri Saarani dan Razali Umar Kandasamy yang masih berusia bawah 23 tahun.

"Selepas ini (bulan depan) kita akan memulakan latihan sebaik Liga Super berakhir. Mungkin saya akan panggil beberapa pemain baru tetapi ia bukanlah perubahan besar.

"Saya akan pastikan skuad B-23 ini mempunyai sekurang-kurangnya dua pemain terbaik di setiap posisi," jelas Rajagobal.

Jika dinilai berdasarkan dua aksi bertemu United dan beberapa siri perlawanan persahabatan yang telah diharungi sejak Mei lalu, baya- ngan tonggak di setiap posisi sudah boleh dilihat.

Penjaga gol utama hampir pasti milik Farizal Marlias yang beraksi cemerlang dalam kedua-dua perla- wanan menentang United.

Begitupun, dia tetap perlu bersaing dengan tiga lagi penjaga gol iaitu Syed Adney Syed Hussein, Sharbinee Allawee Ramli dan Nasril Nourdin.

Bek tengah pasti diketuai Aidil Zafuan dan Muslim Ahmad tetapi mereka boleh dicabar Nasriq Baha- rom dan Faizal Muhammad.

Posisi bek kanan mampu digalas Mazlizam Mohamad dan Mat Sabree Abu manakala bek kiri, Asraruddin Putra Omar dan Azmi Muslim.

Jentera tengah dijana oleh Safiq Rahim dan Amar Rohidan sambil boleh dicabar Bunyamin Umar, K. Gurusamy dan G. Mahathevan.

Sayap kanan menjadi rebutan S. Kunanlan, Khyril Muhymeen dan Amirulhadi manakala sayap kiri boleh digalas Baddrol Bakhtiar atau pemain Harimau Muda, Fandi Othman.

Berdasarkan barisan pemain yang ada, tiada sebab untuk skuad negara gagal meraih pingat emas di Laos nanti.

Selain itu, jika dinilai pada dua aksi persahabatan dengan dua skuad B-23 negara jiran baru-baru ini, Malaysia berjaya membelasah Singapura 3-0 di tempat lawan (21 Mei) dan menang tipis 1-0 ke atas Indonesia di Cheras pada 13 Jun lalu.

Apa yang diharapkan selepas ini ialah pengalaman menentang United akan melonjakkan lagi semangat pemain negara, sekali gus mengakhiri kemarau pingat emas Sukan SEA.

Yang pasti, sudah 20 tahun kita menanti kehadirannya.

No comments:

Post a Comment