Wednesday, March 25, 2009

Laos medan ujian Harimau Muda


ISMAIL Sabri (tengah) bersama-sama skuad Harimau Muda melaungkan ‘Malaysia Boleh’ selepas majlis perjanjian kerjasama Pengendalian Pengurusan Pasukan antara FAM dan MSN, semalam.


KUALA LUMPUR – Skuad Harimau Muda yang secara rasmi ‘diserahkan’ kepada Majlis Sukan Negara (MSN) semalam akan dinilai kemampuannya pada temasya Sukan SEA di Laos, Disember ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad berkata, badan induk bola sepak negara itu menyasarkan skuad remaja itu layak ke aksi akhir Sukan SEA Laos sebagai ujian pertama yang perlu dilepasi oleh para pemain yang kini ditaja selama setahun oleh MSN.

“Layak ke akhir merupakan sasaran realistik untuk disandarkan kepada Harimau Muda yang ketika itu sudah mendapat segala kemudahan di bawah MSN. Pemain Harimau Muda akan menjadi sebahagian daripada skuad kebangsaan ke Laos dan bakal digandingkan dengan para pemain skuad senior bawah 23 tahun.

‘‘Ingin saya tegaskan, kita hendaklah berpijak di bumi nyata kerana Harimau Muda merupakan pasukan remaja, jadi usah meletakkan sasaran tinggi seperti layak ke Piala Dunia,’’ katanya di sini, semalam.

Beliau mewakili FAM pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama Pengendalian Pengurusan Pasukan Harimau Muda di antara FAM dan MSN di sini semalam yang disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pada majlis itu, MSN diwakili oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Zolkples Embong.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, skuad Harimau Muda kini disandarkan harapan yang tinggi yang merupakan harapan baru untuk membawa sinar dalam bola sepak negara.

Beliau berkata, program tajaan selama setahun oleh MSN merupakan langkah kementerian itu membantu FAM memastikan kegemilangan bola sepak negara pada peringkat antarabangsa dapat dijelmakan kembali.

Dengan perjanjian tersebut, katanya MSN akan memberi tajaan dari aspek gaji pemain, perlawanan pendedahan di luar negara, sokongan sains sukan, dan penempatan pemain di MSN.

“Kita merancang untuk skuad ini menjalani latihan di Croatia sekurang-kurangnya sebulan selepas saingan Liga Perdana berakhir nanti. Dari situ (Croatia), skuad ini akan mengadakan latihan atau perlawanan persahabatan di negara-negara Eropah sekitarnya.

“Saya berharap usaha di antara FAM dan MSN ini mampu membentuk sebuah pasukan kebangsaan yang mantap pada masa akan datang seterusnya menjulang kembali maruah bola sepak kita. Saya tidak menetapkan sebarang tempoh namun mungkin kita boleh melihat hasilnya dalam masa dua atau tiga tahun lagi.

‘‘Untuk itu program usaha sama ini, MSN akan memberikan pendedahan yang secukupnya kepada pemain-pemain skuad ini kerana dalam masa jangka terdekat mereka akan mewakili pasukan kebangsaan,’’ katanya.

Mengenai keperluan untuk mendapatkan jurulatih asing bagi skuad itu, Ismail Sabri berkata, perkata itu akan dibincangkan.

‘‘Jika perlu MSN bersedia untuk berbelanja bagi mendapat khidmat tenaga luar. Saya harapkan skuad ini mampu mempamerkan kejayaan dalam apa kejohanan yang disertai.

‘‘Buat permulaan kita sasarkan kejayaan di Sukan SEA terlebih dahulu sebelum kejohanan-kejohanan lebih besar,” katanya.

Skuad Harimau Muda yang bersaing dalam Liga Perdana mempamerkan persembahan cemerlang apabila berada di tangga kedua belakang Johor dengan 18 mata setakat ini, setelah FAM membatalkan keputusan perlawanan dengan MBJB yang digantung semalam gara-gara tidak melunaskan premium insurans.

Utusan

No comments:

Post a Comment