KUALA LUMPUR – Malang terus menimpa tatkala persiapan sepak takraw ke Sukan SEA di Laos, Disember ini terganggu apabila seorang lagi pemain negara mengumumkan penarikan diri.
Selepas tiga pelibas terpaksa direhatkan kerana masalah kecederaan, Amirul Azhar Roslan pula menyatakan pengundurannya kepada pengurusan pasukan pada awal bulan lalu atas alasan peribadi.
Ia sekali gus membimbangkan perancangan jurulatih Haris Abdul Rahman untuk membentuk skuad menghadapi Sukan SEA Ke-25 itu.
Dia yang pernah membantu Malaysia bergelar naib juara acara beregu pada Kejohanan Asia Tenggara Pertama di Bengkalis, Riau, Indonesia, dua tahun lalu dikatakan mengambil keputusan nekad itu atas alasan peribadi.
Tiga pelibas yang cedera ialah Azlan Mubin, Hamikhairi Roslan dan Arif Busu di samping seorang tekong, Syazwan Husin yang tidak dapat beraksi dalam misi sulung pasukan, Kejohanan Jemputan dan Terbuka Perlis - Piala Tuanku Raja Muda Perlis, awal bulan ini.
Sementara itu, Ketua Seranta Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Tengku Adnan Tengku Burhanudin berkata, skuad elit yang kini memiliki 24 pemain bakal bertukar pangkalan latihannya dari Kompleks Sukan MSN, Taman Keramat, Kuala Lumpur ke Gimnasium II, Bukit Jalil mulai 1 Mac ini.
“Tempat lama skuad itu bakal diambil alih oleh skuad pelapis negara (Bawah 21 tahun) yang sebelum ini berlatih di Pulau Pinang dan Shah Alam,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan PSM, semalam.
Beliau turut mengumumkan penyenaraian tiga lagi kejohanan tempatan dan antarabangsa dalam kalendar kegiatan PSM tahun ini iaitu Piala Emas Khir Johari di Kuala Lumpur dari 6 hingga 10 April ini, Jemputan Dunia Piala Malaysia Ketiga di Kuala Terengganu (Mei) dan Kejohanan Belia Kebangsaan (Jun).
“Tarikh kedua-dua kejohanan itu masih belum ditetapkan lagi oleh pucuk pimpinan PSM tetapi telah ada persetujuan untuk menghantar pasukan bagi mengadakan demonstrasi di Nepal (Mac) dan Oman (April) serta Sukan Dunia Kelapan di Kaoshiung, Taiwan (Julai),” katanya.
Dua aksi terdekat buat skuad elit ialah Kejohanan Kota Bau Yai mulai Sabtu ini hingga 25 Februari dan Piala Datuk Bandar Hatyai dari 26 Februari hingga 2 Mac dengan pemainnya ialah Nazirul Ikram Rozali, Norshahruddin Mad Ghani, Syafiq Rahman, Sulaiman Salleh, Taufik Saad dan Fadlansyah Barahim.
No comments:
Post a Comment