Sunday, June 7, 2015

Sukan SEA 2015: Malaysia Menang Pingat Perak Acara Triathlon

SINGAPURA, 7 Jun (Bernama) -- Atlet triathlon Malaysia, Rikigoro Shinozuka, menang satu lagi pingat perak dalam acara triathlon lelaki Sukan SEA 2015 di East Coast Park di sini hari ini.

Atlet berusia 20 tahun itu mencatat masa 2 jam, 5 minit dan 35 saat dalam acara melibatkan renang sejauh 1.5km, berbasikal 40km dan larian 10km.

Bapa Shinozuka berbangsa Jepun, manakala ibunya warganegara Malaysia berbangsa Cina.

Pingat emas bagi acara ini dimenangi Huelgas Nikko Bryan dari Filipina dengan catatan masa 2:04:32, manakala pingat gangsa diraih atlet Singapura, Loo Chuan Rong yang ketinggalan 29 saat di belakangnya.

Seorang lagi atlet Malaysia, Lee Chein Wern, menduduki tempat ketujuh daripada 11 peserta dalam acara itu, dengan catatan masa 2:12:1.

Bercakap kepada pemberita selepas upacara penyampaian pingat, Shinozuka, yang mula menyertai pertandingan triathlon pada 2009, berkata dia gembira kerana dapat meraih satu daripada tiga tempat teratas melalui penyertaan kali pertama dalam Sukan SEA.

"Cuaca sungguh baik. Renang dan kayuhan saya berjalan lancar. Saya tidak banyak beri penekanan terhadap acara berbasikal, tetapi berpuas hati dengan apa yang dicapai.

"Saya juga agak gembira dengan kelajuan saya dalam acara larian dan cuba untuk sampai dahulu, tetapi kemudiannya dikejar dan dipotong Nikko, hinggalah tamat perlumbaan," katanya.

Sumber -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment