Saturday, June 6, 2015

Skuad takraw ada peluang raih emas


SKUAD takraw berpeluang menamatkan kemarau pingat emas Sukan SEA kali ini apabila Thailand tidak menyertai acara antara regu.

PELUANG untuk skuad sepak takraw lelaki kebangsaan menamatkan kemarau pingat emas sejak 10 tahun lalu tampak cerah pada temasya Sukan SEA di Singapura yang membuka tirai secara rasmi semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Atlet Kebangsaan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd. Sumali Reduan (gambar) berkata, beliau yakin skuad negara mampu meraih emas menerusi acara antara regu kerana musuh tradisi, Thailand tidak menyertai acara tersebut.

“Saya yakin pemain-pemain mampu meraih emas dalam acara ini. Mungkin ini strategi Thailand kerana mereka lebih berminat untuk menyertai acara berpa­sukan dan berpasangan.

“Peluang untuk menang emas sangat cerah, perlawanan diadakan secara round-robin kerana hanya ada empat pasukan dan lawan kami ialah Singapura, Filipina dan Laos.

“Singapura pun pernah membuat kejutan menewaskan regu negara, tetapi saya percaya cabaran daripada skuad Singapura kali ini tidak besar seperti bertemu dengan Thailand.

“Saya percaya pemain-pemain mampu beraksi dengan baik kerana kami telah membuat persiapan lebih kurang enam bulan,” kata Mohd. Sumali.

Pada temasya kali ini, setiap negara hanya dibenarkan menyertai dua acara. Ia sekali gus menyaksikan Thailand yang tidak pernah terlepas meraih emas menerusi acara antara regu sejak Sukan SEA 2007 mengambil keputusan untuk melupakan acara tersebut.

Regu utama, Muhammad Syahir Mohd. Rosdi, Ahmad Aizat Mohd. Nor Azmi, Mohd. Hanafiah Dolah, Mohd. Khairol Zaman Hamir Akhbar dan Farhan Adam yang menewaskan Thailand pada Siri Super Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) di Melaka Februari lalu akan menjadi sandaran pada kali ini.

Sebagai rekod, Malaysia yang kali ter­akhir mengungguli pingat emas antara regu pada Sukan SEA 2005 sekadar membawa pulang gangsa pada edisi 2009 dan 2011 sebelum tampil lebih baik meraih perak dua tahun lalu di Myanmar selepas tewas kepada Thailand pada aksi final.

Bagaimanapun, skuad negara bakal berdepan laluan getir dalam acara berpasukan apabila perlu menghadapi Thailand untuk aksi pertama, Isnin ini sebelum diikuti Indonesia dan Singapura.

“Memang agak sukar kerana kami akan bertemu Thailand. Mereka adalah pasukan yang digeruni semua pihak, tetapi masih bermain secara round-robin dan kami akan menentang Indonesia serta Singapura pada aksi seterusnya.

“Thailand ada tiga regu mantap, tetapi saya percaya regu pertama dan kedua mampu menyaingi mereka,” tambah Mohd. Sumali.

Sumber: KOSMO

No comments:

Post a Comment