Mohd. Farhan Uzair Mohd. Fikri (kiri) ditumbangkan oleh Sarawut Petsing dari Thailand sewaktu bertarung dalam peringkat awal judo bawah 66kg lelaki Sukan SEA kali ke-28 di Singapura semalam. UTUSAN
SINGAPURA – Skuad judo negara menamatkan hari pertama Sukan SEA 2015 dengan dua gangsa yang diperoleh dalam acara lelaki bawah 66 kilogram (kg) dan bawah 73 kg di Expo Singapura, semalam.
Mohd. Farhan Uzair Mohd. Fikri, 19 tahun yang beraksi dalam acara bawah 66kg berjaya menewaskan lawan dari Filipina dengan membuat jatuhan ippon dan yuko sewaktu minit ketiga sekali gus membolehkannya diumum sebagai penenang dalam aksi perebutan pingat gangsa.
Mohd. Farhan menjelaskan, kemenangannya diperoleh hasil strategi menyerang yang berjaya dilaksanakan dengan baik.
“Saya sangat gembira dengan pingat gangsa ini dan ini telah mengubat kekecewaan saya ketika tewas dalam aksi separuh akhir.
“Sewaktu saingan tadi saya telah berusaha untuk beraksi secara lebih agresif dan akhirnya kemenangan memihak kepada saya,” katanya selepas tamat saingan penentuan pingat judo.
Satu lagi gangsa diraih menerusi Chong Wei Fu yang menambah kegembiraan kem negara dalam acara bawah 73kg selepas berjaya memperoleh kemenangan selepas lawan dari Singapura, Walter Soh Yon Zheng dikenakan penalti.
Sementara itu satu gangsa diraih dalam acara chinlone disiplin linking untuk menceriakan kem skuad sepak takraw negara dalam Sukan SEA 2015 pada hari pertama gelanggang dibuka semalam.
Malaysia yang mengambil bahagian dalam acara tersebut di Expo Singapura pada penyertaan Sukan SEA kali ini berjaya mengumpul 208 mata untuk berkongsi pingat gangsa bersama tuan rumah Singapura (112 mata).
Natalya Wah Idris yang merupakan anak kepada komposer terkenal Datuk Wah Idris pula mencuri perhatian apabila membantu pasukan dressage negara memenangi pingat gangsa di Pusat Tunggangan Kuda Singapura semalam.
Bergandingan dengan Shaiful Azwan Mohamad Din dan Mohd. Izry Razali, pingat gangsa yang dirangkul itu merupakan kejayaan pertama negara dalam kategori berpasukan sejak Sukan SEA 2007.
Pasukan dressage mengumpul 170.737 peratus markah secara keseluruhan untuk ketinggalan kepada Indonesia (206.579) yang menang emas dan tuan rumah Singapura (201.711) di tempat kedua.
Sumber – UTUSAN
No comments:
Post a Comment