Ratu renang berirama negara Katrina Ann Hadi bersama pasangan Lee Yhing Huey berada pada landasan terbaik untuk merangkul pingat emas acara duet selepas mempamerkan aksi bertenaga ketika rutin teknikal di Pusat Akuatik OCBC semalam.
Walaupun itu penampilan pertama Katrina bersama pasangannya selepas memenangi emas di Palembang bersama Shareen Png empat tahun lalu, ternyata ia tidak memberi masalah untuk mereka mencatat mata tertinggi 75.3436 daripada lapan peserta.
Mereka mendahului pencabar terdekat Stephanie Che Mei-Crystal Yap Yu Hui dengan kelebihan 1.3731 mata selepas wakil tuan rumah itu merekod 73.9705 mata.
Satu lagi pasangan Singapura Natalie Chen Mei Qing-Debbie Soh Li ketiga, 70.4160 mata.
Sebanyak 50 peratus daripada markah duet teknikal semalam bakal dibawa ke final esok namun Katrina dan Yhing Huey tidak boleh terlalu selesa kerana perlu memberikan aksi terbaik pada rutin bebas hari ini yang menentukan enam gandingan teratas ke final.
“Kami melakukan rutin dengan baik, mengikut apa yang dirancang jurulatih. Kami gembira dengan persembahan dan mata yang kami peroleh.
“Hari ini hanya 50 peratus mata akan dibawa ke final, kami masih perlu beraksi rutin bebas,” kata Yhing Huey.
Sementara itu Katrina yang menjadi tonggak pasukan renang berirama negara menyapu bersih kesemua lima pingat emas di Palembang sedar jurang mata dengan pencabar tidak terlalu jauh.
“Hari ini (semalam) kami hanya mempunyai lebih satu mata mendahului peserta lain, jadi harus terus kekal di depan mereka.
“Tapi saya yakin kami mempunyai peluang terbaik jika terus konsisten dalam rutin bebas,” katanya.
Sumber: Harian Metro
No comments:
Post a Comment