YU PENG KEAN sekadar berpuas hati meraih pingat gangsa dalam acara lawan pedang sabre individu lelaki semalam selepas tewas kepada pemain Vietnam, Vu Thanh An pada separuh akhir di OCBC Arena, Singapura semalam.
SINGAPURA – Harapan skuad lawan pedang negara untuk menghadiahkan pingat emas pertama Sukan SEA 2015 tidak kesampaian apabila sekadar meraih satu gangsa menerusi Yu Peng Kean dalam acara sabre individu lelaki di OCBC Arena, semalam.
Peng Kean, antara atlet yang disandarkan emas oleh kem lawan pedang negara tewas pada aksi separuh akhir kepada lawan dari Vietnam, Vu Thanh An dengan keputusan 4-15.
Kekalahan tersebut membolehkan Peng Kean berkongsi pingat gangsa bersama dengan atlet Thailand, Kothny Wiradech yang tewas dalam aksi sama kepada wakil tuan rumah, Singapura, Choy Yu Yong dengan keputusan 12-15.
Kata Peng Kean, keghairahan untuk mendapatkan kemenangan menjadi punca dirinya seolah hilang fokus menentang Thanh An.
“Semuanya menjadi serba tidak kena dan saya seolah tidak tahu untuk berbuat apa di atas gelanggang, tambahan pula apabila saya menjadi harapan terakhir untuk melangkah ke saingan akhir selepas dua lagi sandaran gagal meraih pingat.
“Kekalahan ini amat mengecewakan saya kerana sasaran peribadi saya paling kurang adalah untuk memperbaiki pencapaian gangsa pada Sukan SEA 2011 tetapi tidak berjaya,” katanya selepas tamat aksi separuh akhir di sini, semalam.
Dalam saingan hari pertama lawan pedang semalam, dua lagi sandaran Malaysia, Joshua Koh I Jie dan Natasha Ezzra Abu Bakar kandas di suku akhir.
Joshua, pemenang pingat emas Sukan SEA Indonesia, empat tahun lalu tewas dalam acara epee individu lelaki kepada lawan dari Thailand, Chamcharern Panthawit dengan keputusan 11-5.
Natasha, yang turut mengintai emas pertamanya kecundang di tangan Wang Wengying dari Singapura dalam saingan foil individu dengan keputusan tipis 14-15.
Peluang skuad lawan pedang negara untuk mendapatkan pingat emas kini bergantung kepada acara berpasukan melibatkan saingan epee lelaki, sabre lelaki dan foil wanita yang dijadul berlangsung Sabtu ini.
Pada Sukan SEA 2011, lawan pedang menghadiahkan dua pingat emas dan lima gangsa.
Sumber: Utusan Online
No comments:
Post a Comment