SINGAPURA – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu memikul segala tanggungjawab ekoran prestasi buruk skuad bola sepak negara yang hampir pasti tersingkir seawal peringkat kumpulan pada saingan Sukan SEA kali ini.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sistem dan struktur yang diamalkan FAM dianggap tidak berfungsi dengan baik dalam menghasilkan pemain muda untuk membentuk pasukan bawah 23 tahun yang mampu bersaing dengan cemerlang khususnya di pentas Sukan SEA.
Menurutnya, persiapan dalam tempoh yang singkat menjadi salah satu faktor tetapi pemain yang dipilih untuk beraksi kali ini kurang berpengalaman dan ia juga antara faktor kemerosotan prestasi sehingga tewas dalam dua perlawanan penting menentang Vietnam dan Thailand baru-baru ini.
“Kali ini, jurulatih Datuk Ong Kim Swee kata mereka hanya membuat persiapan dalam masa yang begitu singkat dan saya lihat pemain-pemain yang dipilih mewakili skuad muda negara kali ini tidak pernah mewakili pasukan utama bagi kelab dan negeri masing-masing.
“Kita memang sudah mahu bubarkan Harimau Muda, sekarang ini, FAM kena fikir betul-betul, pemain-pemain muda ini mesti mempunyai pengalaman beraksi dalam banyak perlawanan, kalau tidak masalah ini akan berulang. Kalau negeri dan kelab tidak beri keyakinan kepada pemain muda, maka kita terpaksa terus mengamalkan sistem Harimau Muda yang pada saya tidak efektif.
“Kita tubuhkan Harimau Muda ini masa saya menjadi Timbalan Presiden FAM sebab pada waktu itu kita nampak peluang bagi pemain bawah umur 23 tahun di kelab dan negeri masing-masing tak begitu banyak, mereka tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama, mereka tak dapat masa bermain yang cukup, mereka tak dapat pengalaman yang luas sebab itu kita kekalkan mereka sebagai satu pasukan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi sejurus tiba di Singapura semalam.
Tambahnya, program pembangunan yang tidak mampan juga menyumbang kepada faktor kemerosotan prestasi pasukan muda negara ini terutama apabila pasukan kelab dan negeri tidak memberikan kepercayaan kepada mereka tidak mempunyai pengalaman mengharungi perlawanan kompetitif.
“Dahulu kita pernah syaratkan untuk kesebelasan utama pasukan yang bermain dalam Liga Malaysia supaya menurunkan dua atau tiga pemain di bawah umur 23 tahun, tetapi pada masa sekarang syarat tersebut tidak diamalkan.
“Saya jaga pemain muda di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), kalau inilah caranya, saya tak berapa puas hati nak serahkan pemain muda ini kepada sistem yang sedia ada. Pemain bawah umur 13 tahun ini baru sahaja tewaskan Bayern Munich pada aksi persahabatan baru-baru ini.
Dalam pada itu, Khairy turut mengulas mengenai hasrat Kim Swee yang mahu meletakkan jawatannya sebaik berakhirnya Sukan SEA kali ini.
“Memang dari awal lagi beliau ada cakap nak tamatkan perkhidmatan dengan Harimau Muda. Jadi, kira sudah selesailah tugas beliau tapi malangnya beliau tidak dapat mengakhiri tugas dengan kejayaan, tetapi barangkali dia menjangkakannya,” jelas Khairy.
Sementara itu Ketua Kontinjen negara, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria memberitahu, kegagalan yang dialami skuad bola sepak negara merupakan suatu yang mengecewakan, namun sudah dapat menjangkakan prestasi yang kurang memberangsangkan itu.
“Daripada mula saya sudah cakap ketika perlawanan menentang Timor Leste. Saya sudah tidak yakin bahawa skuad bola sepak ini sebagai pencabar untuk mendapatkan pingat dan ia memang benar.
“Pasukan bola sepak ini perlu sentiasa bersedia dan tidak boleh berasa kita adalah kuasa bola sepak Asia Tenggara,” katanya.
Sumber: KOSMO
No comments:
Post a Comment