PEMAIN Malaysia, An Najwa Azizan (kanan) berjaya melepasi pemain Brunei, Nurrafiqah Afifi Abdullah dalam perlawanan pusingan awal acara bola jaring Sukan SEA Singapura di di OCBC Arena, semalam. Malaysia berjaya menewaskan Brunei 82-24.
SINGAPURA – Seperti diramalkan, skuad bola jaring meneruskan momentum bergaya mereka pada aksi keempat pusingan awal apabila menewaskan Brunei 82-24 di OCBC Arena bagi menempah tempat ke separuh akhir, Sabtu ini.
Keunggulan skuad bola jaring negara nyata tidak mampu ditandingi oleh Brunei yang ketinggalan 3-21 di suku masa pertama sebelum cuba menghadirkan sedikit tentangan pada suku masa kedua untuk menjadikan kedudukan 9-38.
Percaturan jurulatih, Aminah Asaari, yang menggunakan Norashikin Kamalzaman sepenuh masa jelas menjadi apabila pemain ini mengganas di suku akhir ketiga bagi terus mengukuhkan Malaysia di hadapan 60-19 sebelum mengakhiri perlawanan dengan keputusan 82-24.
Angka jaringan kemenangan yang dicatatkan oleh pasukan negara jelas membuatkan Aminah berasa cukup gembira kerana melebihi apa yang dilakukan oleh Singapura ke atas Brunei sebelum ini iaitu 72-21.
Tambahnya, fokus mereka ialah mahu meraih seberapa banyak jaringan bagi mengatasi Singapura sebagai juara kumpulan untuk memudahkan laluan mereka di peringkat separuh akhir.
“Jumlah jaringan pada hari ini melebihi apa yang dibuat oleh Singapura dan menjelang perlawanan terakhir dengan Thailand, saya harap kami dapat terus meraih kemenangan yang besar bagi mempertahankan kedudukan kami di tangga teratas.
“Saya gembira kerana pemain dapat mengekalkan prestasi yang baik dan walaupun ada sedikit kesalahan dilakukan mereka, sekurang-kurangnya tahap permainan yang sebelum ini berjaya dikekalkan.
“Berdepan Thailand, kami tidak pernah kalah kepada mereka setakat ini dan kali terakhir berjumpa mereka di kejohanan Asia, kami berjaya meraih kemenangan dan harap langkahan cemerlang ini diteruskan sehingga perlawanan akhir,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan, semalam.
Norashikin sekali lagi menjadi watak penting kepada kejayaan Malaysia apabila menyempurnakan 69 jaringan daripada 78 percubaan sementara Izyan Syazana Mohd. Wazir mencipta sembilan jaringan daripada 11 percubaan.
Pasukan bola jaring Malaysia bakal bertemu Thailand pada 3.30 petang ini bagi melengkapkan perlawanan peringkat kumpulan dengan aksi separuh akhir dijadualkan pada hari Sabtu.
Sumber: Utusan Online
No comments:
Post a Comment