Sunday, June 7, 2015

Berita Ringkas Sukan SEA Ke-28

SINGAPURA, 7 Jun (Bernama) -- Berikut ialah berita ringkas acara sukan yang melibatkan kontinjen Malaysia di Sukan SEA ke-28, hari ini (Ahad):

PELAYARAN

Skuad pelayaran negara berjaya menyumbang pingat emas menerusi acara berpasukan optimist (U16) setelah mengalahkan Singapura 1-0 pada aksi final yang berlangsung di Pusat Pelayaran Kebangsaan Singapura, hari ini.

Pasukan optimist dibarisi oleh Muhammad Fauzi Kaman Shah (kapten), Abdul Latif Mansor, Nor Nabila Natasha Mohd Nazri, Nur Aisah Rose Ramlee dan Muhammad Dhiauddin Rozaini.

CHINLONE

Kem Chinlone terlepas pingat emas setelah tewas 200-264 kepada Thailand pada aksi final acara 'Non-repetition Primary' yang berlangsung di Dewan 1, Pusat Konvesyen dan Pameran Singapura (Singapore Expo) hari ini.

Pingat gangsa bagi acara itu menjadi milik Brunei dan Singapura.

TINJU

Skuad tinju negara bungkus awal setelah kelima petinju negara kandas pada aksi suku akhir yang berlangsung Dewan 1, Pusat Konvesyen dan Pameran Singapura (Singapore Expo) hari ini.

Impian skuad tinju negara untuk membawa pulang pingat emas pertama berkecai apabila petinju harapan negara, Khir Akyazlan Azmi yang beraksi dalam acara Light Welter Weight lelaki (64kg) tewas 1-2 kepada Leong Jun Hao dari Singapura.

Petinju negara, Muhamad Fuad Mohd Redzuan yang beraksi dalam acara Light Flyweight lelaki (46kg-49kg) turut kandas di pusingan suku akhir selepas tewas 0-3 kepada Rogen Ladon dari Filipina.

Nasib yang sama menimpa Muhammad Alnazirul Othman setelah disingkirkan petinju Indonesia, Papendang Farrand dengan mata 0-2 dalam acara Lightweight lelaki (60kg).

Arfiqanie Ahmad Anshori yang beraksi dalam acara Bantam Weight lelaki (56kg) pula tewas 0-3 kepada petinju Thailand, Ongjunta Tanes.

Sementara itu, Petrus Rudy yang beraksi dalam acara Middle Weight lelaki (69kg-75kg) turut mengalami kegagalan selepas tewas 0-3 kepada Ko Aung Ko yang mewakili Myanmar.

JUDO

Skuad Judo negara menyumbang dua pingat gangsa apabila Nurizzatul Fazlia Mohamad Tahir meraih pingat tersebut dalam kategori 63-70kg wanita selepas mengalahkan atlet Laos Somsoudalath Venevankham dengan kiraan satu 'Shido' pada aksi penentuan pingat gangsa yang berlangsung di Dewan 2, Pusat Konvesyen dan Pameran Singapura (Singapore Expo) hari ini.

Pingat emas bagi acara tersebut menjadi milik Surattana Thonsri dari Thailand dan pingat perak pula milik peserta Myanmar, Kyaw Phyo Swe Zin.

Satu lagi pingat gangsa dari sukan judo disumbangkan oleh Sarifah Fazila Syed Salim yang beraksi dalam kategori 70-78 kg wanita.

Manakala pingat emas bagi acara tersebut milik Nguyen Thi Nhu Y yang mewakili Vietnam dan pingat perak pula milik atlet dari Myanmar, Aung Aye Aye.

LAWAN PEDANG

Skuad lawan pedang negara gagal menambah koleksi pingat pada hari penutup tirai acara tersebut apabila barisan atlet lawan pedang negara yang dibarisi oleh Muhammad Aqil Anuar/Cheng Xing Han/Syed Adil Emir Putra/Nurul Affiq Nazril Ismail gagal mara ke pusingan separuh akhir bagi acara berpasukan Foil lelaki selepas tewas 18-45 kepada pasukan Filipina di Arena OCBC hari ini.

Sumber: BERNAMA

No comments:

Post a Comment