Monday, May 11, 2015

Kuda atlet Ekuestrian negara perlu tempuh perjalanan tujuh jam ke Singapura

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Perjalanan tujuh jam melalui jalan darat dari Kuala Lumpur ke Singapura merupakan cabaran besar kepada enam ekor kuda yang akan beraksi dalam sukan ekuestrian pada temasya Sukan SEA di Singapura bulan depan.

Jurulatih pasukan ekuestrian negara Syed Omar Syed Abu Bakar Al Mohdzar berkata kuda tersebut akan beraksi bersama tujuh atlet negara dalam acara Show Jumping dan Dressage.

Enam ekor kuda yang akan dibawa menaiki float (kenderaan untuk membawa kuda) bernama Tallong Coral (betina), Urgola (betina), Wachinta (jantan), PRTC Gin Fizz Van De Gasthoeve (jantan), Thor De Martinpre (jantan) dan Cookie N Cream (jantan).

Seekor lagi kuda iaitu Arcado (jantan) akan ke Singapura menaiki kapal terbang terus ke Singapura kerana kuda tersebut kini berada di Jerman.

"Perjalanan melibatkan enam hingga tujuh jam akan memberi kepenatan kepada kuda-kuda yang dibawa masuk Singapura. Float pula tidak boleh membawa laju dan perlu berhenti. Kuda tersebut juga perlu berehat.

"Kuda-kuda tersebut akan bertolak tiga minggu lagi ke Singapura. Perjalanan jauh ini merupakan pengalaman pertama bagi kuda tersebut. Paling jauh membawa kuda-kuda tersebut ialah dari Kuala Lumpur ke Ipoh.

"Bantuan pihak polis untuk mengiringi kuda tersebut dapat melancarkan perjalanan lebih cepat dan lancar," katanya kepada Bernama di Kelab Ekuestrian Bukit Kiara, di sini Ahad.

Tujuh atlet yang akan beraksi ialah Mohd Nabil Fikri Ismail yang akan beraksi dengan kudanya iaitu Urgola, Natasha Ines Wah Idris (Wachinta), Ahmad Imtaz Amir Hamzah (PRTC Gin Fizz Van De Gathoeve) dan Sharmini Christina Ratnasingham (Arcado L) bagi acara Show Jumping.

Selain itu, Muhammad Shaiful Azwan Mohamad Din (Thor De Martinpre), Natalya Aira Wah Idris (Tallong Coral) dan Mohd Izry Razali (Cookie N Cream) pula akan mengambil bahagian dalam acara Dressage.

Syed Omar berkata beliau yakin skuad negara mampu meraih pingat di Singapura namun beliau menaruh harapan tinggi kepada atlet Show Jumping untuk meraih pingat emas.

"Semua atlet ekuestrian yang mengambil bahagian bagi acara Show Jumping mempunyai peluang cerah untuk meraih pingat. Saya harap seorang daripada mereka dapat meraih pingat emas," katanya.

Pada Sukan SEA Myanmar dua tahun lepas, skuad ekuestrian negara meraih tiga pingat emas dalam acara Endurance individu dan berpasukan serta Dressage.

Namun penganjur tidak mempertandingkan acara Endurance. Pemenang pingat emas Dressage, M. Praveen Nair tidak dapat menyertai Sukan SEA kali ini kerana kuda beliau mengalami kecederaan pada kaki depan bahagian kanan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment