Monday, May 11, 2015

Dua lagi Gimnas untuk isi slot ke Sukan SEA di Singapura

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) masih tercari-cari dua lagi gimnas bagi melengkapkan pasukan gimnastik negara ke Sukan SEA di Singapura, Jun ini.

Pengurus pasukan, Abdul Hadi Ahmad berkata pada temasya kali ini, MGF memutuskan untuk membawa enam gimnas, berbanding empat pada temasya sebelum ini.

Katanya, pada sesi pemilihan ketiga hari ini, MGF telah mengenal pasti empat gimnas yang akan membawa cabaran negara, manakala dua lagi masih dalam proses penilaian.

"Kita dah buat tiga sesi pemilihan daripada tujuh gimnas ditambah dengan dua lagi yang menyertai kejohanan di Manchester yang menghantar video mereka untuk dinilai.

"Daripada sesi ujian setakat hari ini, kita dah kenal pasti empat gimnas yang mantap dan kita akan pilih dua lagi untuk membawa cabaran negara, dan kita akan maklumkan dalam masa terdekat. Kali ini, kita buat tambahan gimnas untuk mengelakkan insiden 2011 berulang," katanya kepada pemberita di Bukit Jalil, Sabtu.

Empat nama yang disebut bakal membawa cabaran negara ialah Farah Ann Abdul Hadi, Tan Ing Yueh, Nur Eli Ellina Azmi dan Tracie Ang manakala dua nama lagi masih belum diputuskan.

Dua lagi slot mungkin diisi oleh Rachel Yeoh, Siti Nur Bahirah Husniyah Ahmad, Nur Azira Aziri atau dua lagi gimnas yang sedang menyertai kejohanan gimnastik di Manchester, England, iaitu Natasha Raymund dan Lavinia Raymund.

Mengulas mengenai sasaran pingat di temasya dwitahunan itu, Abdul Hadi berkata peluang negara untuk meraih emas dalam acara berpasukan lebih cerah memandangkan kesemua gimnas mempunyai kebolehan yang seimbang.

"Namun, kita tidak menolak saingan sengit mungkin daripada pasukan tuan rumah, Singapura. Kalau dalam acara individu, kita melihat Vietnam mempunyai gimnas yang hebat dan berada dalam ranking dunia.

"Peluang kita lebih cerah dalam acara berpasukan dan saya yakin para gimnas kita mahu menebus kekalahan pada 2011 di mana kita hanya mendapat perak selepas Tracie mengalami kecederaan," katanya.

Abdul Hadi berkata skuad gimnas negara akan meneruskan latihan di Bukit Jalil sekiranya tidak mendapat jawapan daripada tuan rumah Singapura untuk membenarkan atlet gimnastik negara menjalani latihan di venue pertandingan.

Skuad gimnastik negara dijangka bertolak ke Singapura pada 1 Jun dan memulakan cabaran pada 6 Jun untuk kategori lelaki dan 7 Jun untuk wanita.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment