Thursday, May 28, 2015

‘Bukan soal jimat’




Kelana Jaya: Chef de Mission negara ke Sukan SEA Datuk Seri Norza Zakaria menganggap penggunaan bas sebagai pengangkutan atlet ke Singapura bukan langkah penjimatan hingga mengabaikan soal keselesaan dan keselamatan atlet. 

Sebaliknya beliau menegaskan penggunaan 34 bas untuk membawa 843 atlet dan pegawai ke temasya sukan dwi tahunan itu dan bukannya kapal terbang seperti sebelum ini sebenarnya mampu memupuk semangat kesukanan antara atlet.

“Ia bukan mengenai menjimatkan perbelanjaan tapi lebih kepada semangat kesukanan antara atlet negara kerana kita dapat mengeratkan hubungan baik antara mereka,” katanya pada sidang media sebelum majlis pelepasan pertama membabitkan skuad Bawah 23 (B-23) negara di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam.

Norza berkata, bas yang membawa skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu akan berhenti dua kali sebelum tiba di Johor Bahru dan disambut Kerajaan Negeri Johor yang menyediakan jamuan tengah hari sebelum menganjurkan majlis pelepasan ke Singapura.

“Jika menaiki bas pemain tidak penat, jika naik pesawat sekalipun mereka akan menghabiskan masa antara tiga hingga empat jam.“Kita juga sudah buat persiapan secukupnya supaya mereka selesa, ia bukan isu besar,” katanya mengenai kemungkinan ada atlet keletihan kerana tempoh perjalanan yang lama dengan menggunakan bas untuk menyeberangi Tambak Johor.

Mengulas mengenai sasaran tinggi diletakkan kepada skuad B-23 pada Sukan SEA kali ini selepas gagal mempertahankan pingat emas di Myanmar dua tahun lalu, Norza berharap anak buah Kim Swee dapat bermula dengan langkah kanan berdepan Timor Leste dalam saingan pertama Kumpulan B, Sabtu ini.

“Saya harap mereka sudah bersedia menghadapi rintangan dalam kumpulan sukar itu. Mereka sebenarnya sudah membuat persiapan secukupnya sebelum ini,” katanya.




Oleh Aziman Rosdi 

No comments:

Post a Comment