MUNGKIN dalam kalangan peminat sukan skuasy, Mohd Addeen Idrakie tidak begitu terkenal dan jarang diberikan publisiti di media cetak dan elektronik.
Namun, bagi pemain kelahiran Selangor yang juga bintang skuasy muda lelaki negara, Addeen kini menyasarkan memberikan aksi terbaik Sukan Sea 2015 di Singapura yang bermula bulan depan.
Baru berusia 21 tahun, Addeen akui masa mencemburuinya untuk bangkit kepada prestasi sebenar selepas mempamerkan aksi hambar dalam dua saingan sebelum ini.
Ketika bermain di Kejohanan Asia Individu di Kuwait awal bulan ini, dia tewas di tangan pemain Korea Selatan, Ko Young-jo di pusingan kedua.
Dan terbaharu, Addeen terkandas setakat suku akhir Sirkit Skuasy Jelajah Malaysia (SSJM) di Pulau Pinang baru-baru ini.
Pada perlawanan itu, dia tumpas kepada pemain junior negara, Ng Eain Yow.
"Saya gagal beraksi dengan baik di Kuwait. Tetapi, mungkin sebab saya baharu sahaja kembali ke sesi latihan selepas sebulan berehat akibat kecederaan betis dan jangkitan mata.
"Saya tidak cukup baik ketika kalah kepada Eain Yow. Saya percaya saya boleh mengalahkan Eain Yow kali ini..jika saya terus fokus.
“Saya benar-benar ingin berjaya dalam SSJM kerana ia akan meningkatkan keyakinan saya menjelang Sukan Sea, di mana saya menyasarkan pingat emas," katanya yang menghuni ranking 123 dunia.
SRAM sasar empat emas
Sementara itu, Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM) menetapkan sasaran meraih empat pingat emas daripada lima pingat yang dipertandingkan di Sukan Sea Singapura yang bakal bermula dari 5 hingga 16 Jun depan.
Addeen berkata, dia akan menentang Eain Yow selepas kedua-duanya dipertemukan pada pusingan pertama.
Jika beroleh kemenangan, dia akan bertemu pemain pilihan kelima, Muhammad Saqib Yousof dari Pakistan di peringkat suku akhir.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment