Thursday, December 3, 2009

Skuad B-23 sumbat 11 gol


SKUAD negara melangkah ke padang untuk memulakan aksi menentang Timor Leste semalam.


SKUAD bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan tampil garang pada aksi sulung dalam acara bola sepak Sukan SEA 2009 apabila membelasah Timor Leste 11-0 di Stadium Nasional Laos di Vientiane petang semalam.

Nyata penundaan 24 jam penerbangan skuad negara ke Laos tidak menjejaskan rentak anak-anak buah K. Rajagobal itu, malah mereka mungkin mahu melepaskan geram dengan Timor Leste menjadi mangsa pertama mereka.

Malaysia selesa mendahului 6-0 pada separuh masa pertama sebelum menambah lima lagi gol pada babak kedua.

Ahmad Fakri Saarani menjaringkan hatrik, Norshahrul Idlan Talaha meledak dua gol manakala Baddrol Bakhtiar, Zaquan Adha Radzak, Safiq Rahim, Aidil Zafuan Radzak, Amirulhadi Zainal dan Amar Rohidan masing-masing menyumbang satu gol.

Norshahrul membuka tirai jaringan seawal minit ketiga sebelum Baddrol merembat gol kedua pada minit ke-11 diikuti jaringan Zaquan pada minit ke-14.

Safiq menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-28 dan Malaysia menambah dua lagi gol sebelum waktu rehat menerusi jaringan kedua peribadi Norshahrul (30) dan Fakri (42).

Sebaik babak kedua bermula, Aidil tampil menjaringkan gol ketujuh Malaysia pada minit ke-57 sebelum Fakri melengkapkan hatriknya menerusi dua jaringan berturut pada minit ke-70 dan 77.


PASUKAN B-23 negara bermula garang pada aksi pertama acara bola sepak Sukan SEA di Laos semalam.


Baki dua gol Malaysia dijaringkan dua pemain gantian, Amirulhadi pada minit ke-80 dan Amar pada minit ke-90.

Malaysia selepas ini akan berdepan ujian sebenar menentang Vietnam pada perlawanan kedua Ahad ini.

Sementara itu, pada satu lagi perlawanan Kumpulan A semalam, juara bertahan Thailand sekadar seri 1-1 dengan Vietnam.

Thailand mendahului pada minit ke-70 menerusi Kirati Keawsombut sebelum Vietnam menyamakan kedudukan pada minit ke-89 hasil jaringan Nguyen Quy Suu.

Jumaat ini, Thailand akan bertemu Kemboja manakala Vietnam bertemu Timor Leste sementara Malaysia diberi rehat.

MALAYSIA: 1-Farizal Marlias, 6-Nasriq Baharom, 7-Aidil Zafuan Radzak (c), 24-Muslim Ahmad, 2-Sabre Mat Abu, 13-Ahmad Fakri Saarani, 10-Safiq Rahim (12-Amar Rohidan), 15-K.Gurusamy, 23-Baddrol Bakhtiar (16-S.Kunanlan), 9-Norshahrul Idlan Talaha (21-Amirulhadi Zainal), 8-Zaquan Adha Radzak. KOSMO

No comments:

Post a Comment