WALAUPUN sekadar meraih satu pingat gangsa pada Sukan SEA di Korat, Thailand dua tahun lalu, skuad bola tampar pantai wanita negara tetap meletakkan sasaran untuk menjulang sebutir emas pada temasya yang sama di Laos bulan ini.
Kegagalan di Korat dijadikan pengajaran dan bumi Laos akan menjadi medan merealisasikan hajat besar itu.
Skuad yang dibimbing oleh jurulatih Lim Poh Hong itu masih ada beberapa hari sahaja lagi untuk memperkasakan gaya permainan yang akan dijadikan aset perjuangan pada temasya dwi-tahunan itu kelak.
Meskipun yakin untuk melontarkan cabaran tetapi masih tetap timbul persoalan sama ada mereka mampu menyekat kuasa besar seperti Thailand.
Menurut Poh Hong, biarpun berhadapan dengan apa juga cabaran, ia tidak melemahkan semangat pasukannya untuk menyaingi pemain-pemain profesional
"Kami sudah bersedia, dan persiapan pun dilihat agak memuaskan.
"Kami juga telah mengikuti latihan selama dua minggu di Amerika Syarikat pada 10 hingga 29 Oktober lalu selain menyertai Kejohanan Dunia di Phuket, Thailand pada awal November lalu.
"Daripada pendedahan tersebut kami telah mendapat banyak input mengenai strategi permainan yang diketengahkan," kata Poh Hong.
Satu perkara yang membimbangkan mereka di Laos kelak ialah cuaca.
Menurutnya, keadaan gelanggang pasti berbeza berbanding gelanggang yang digunakan untuk menjalani latihan di Bukit Jalil.
"Pasir di gelanggang latihan di Family Park, Bukit Jalil yang sering basah dan keras akibat hujan yang turun tidak menentu sememangnya menjadi halangan utama untuk pemain menjalani latihan harian mereka.
"Saya bimbang di sana nanti mereka tidak dapat menyesuaikan diri di gelanggang yang sebenar disebabkan faktor pasir yang lembut," jelasnya.
Bagi memperkemaskan lagi rentak permainan skuad negara, mereka turut mendapat bimbingan daripada jurulatih dari Amerika Syarikat, Eric Le Cain.
Pemain yang menjadi sandaran menggalas cabara negara ialah dua pemain senior, Beng Shun Thing, Luk Teck Hua dan dua pemain muda, Jessie Lee Jay See dan Chia Chou Hwa.
|
|
Gandingan Shung Thing dan Teck Hua menjadi sandaran untuk memburu emas.
"Dua pemain ini dilihat semakin matang termasuk dari segi kemahiran. Oleh itu, mereka perlu yakin pada diri sendiri bahawa mereka sudah ada peningkatan dari segi teknik permainan.
"Berbanding pemain muda, mereka perlu berhadapan dengan banyak cabaran. Saya berharap sekurang-kurangnya mereka dapat memasuki pusingan suku akhir," jelas Poh Hong.
Acara bola tampar pantai menawarkan dua pingat emas iaitu satu untuk kategori lelaki dan satu lagi untuk kategori wanita
KOSMO.
No comments:
Post a Comment