Tiga muka baru mampu kekal dua emas
WALAUPUN kemelut yang melanda Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA) masih belum menemui jalan penyelesaian, situasi itu tidak sesekali menghalang persiapan skuad negara menjalani latihan di Korea Selatan bagi menghadapi Sukan Sea di Laos bulan depan.
Menyambung kesinambungan dengan dua pingat emas semasa di Korat dua tahun lalu, skuad negara yakin kecemerlangan itu dapat dipertahankan apa lagi dengan kedatangan tiga muka baru.
Ketiga-tiga mereka adalah atlit pelapis yang disiapkan untuk Sukan Olimpik Remaja iaitu Nurul Asfahlina Mohd Johari, Darel Josie dan Harith Feizal Mohd Noor yang dilihat mampu melengkapkan senarai 10 atlit negara, termasuk dua yang memenangi pingat emas di Korat Elaine Teo dan Che Chew Chan.
"Ini adalah penampilan sulung mereka di Sukan Sea, dan saya sendiri tidak mensasarkan sebarang pingat daripada mereka. Tetapi saya yakin mereka mampu untuk mencipta kejutan lebih-lebih lagi Darel yang baru sahaja meraih emas di Terbuka Australia bulan lalu," kata pengurus pasukan, K M Rajendran.
"Memang ketika ini harapan masih disandarkan kepada Elaine dan Chew Chan. Selain rekod baik mereka, kedua-duanya juga memiliki kebolehan mengawal tekanan dengan sebaik mungkin ketika beraksi. Itu antara kelebihan mereka yang perlu dicontohi atlit lain."
Rajendran berkata, penampilan semula Lee Wan Yuen juga diharap mampu mengulangi kecemerlangannya yang meraih emas bagi acara heavyweight wanita pada Sukan Sea Kuala Lumpur 2001 dan Brunei 1999.BHARIAN
No comments:
Post a Comment