|
|
KUALA LUMPUR - Kontroversi pemilihannya ke Sukan SEA tidak menjejaskan tumpuan pelari 110 meter berpagar negara, Muhd. Faiz Mohamed untuk memberikan larian terbaik pada temasya sukan dwi-tahunan di Vientiane minggu depan.
Pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2007, Muhd. Faiz yang menggantikan pelari 110m berpagar No. 1 negara, Rayzam Shah Wan Sufian berkata, dia tidak menghiraukan kontroversi pemilihannya ke Laos yang tidak begitu disenangi oleh segelintir pihak.
Untuk itu, katanya, sejurus terpilih sebagai pelari kedua 110m negara bersama juara Sukan SEA 2005, Mohd. Robani Hassan di Laos nanti, ia akan dijadikan pentas untuk menyakinkan semua orang terhadap kemampuannya.
''Saya beraksi di Laos dengan azam untuk membuatkan orang percaya bahawa saya masih mampu.
"Kontroversi pemilihan saya ke Laos tidak menjejaskan tumpuan saya.
"Ini merupakan Sukan SEA keenam saya dan saya mahukan sesuatu yang bermakna,'' katanya.
Pemilihan pelari 110m yang benar-benar layak untuk beraksi di Laos menimbulkan dilema Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KAOM) apabila ketiga-tiga mereka Rayzam Shah, Robani dan Muhd. Faiz masing-masing memiliki kelebihan.
Namun, Muhd. Faiz akhirnya disenaraikan ke Laos bersama Robani selepas prospek pingat emas dan penyandang juara, Rayzam Shah terpaksa diketepikan daripada senarai akhir 30 atlet negara selepas gagal pulih dari kecederaan pelipat lutut.
Kecederaan Rayzam itu meninggalkan tanggungjawab memburu emas kini diserah sepenuhnya kepada dua atlet senior Mohd. Robani dan Muhd. Faiz.
Robani, 27, memenangi pingat emas pada Temasya Vietnam 2005 tetapi terpaksa melupakan Sukan SEA 2007 juga kerana kecederaan pelipat paha.
Pelari Selangor itu memiliki catatan peribadi terbaik 13.85s yang dilakukan pada Kejohanan Kebangsaan tahun lalu, namun masa terbaiknya tahun ini adalah 14.13s.
Sementara itu, Muhd. Faiz berkata, pesanan dan harapan Allahyarham bapanya, Mohammad Bakhtiar yang meninggalkan dunia dalam kemalangan jalan raya kira-kira dua minggu lalu menjadi pencetus semangat untuk dia beraksi di Laos nanti.
"Allahyarham bapa saya merupakan individu yang banyak memberi dorongan dalam karier saya.
"Sebelum ini Allahyarham ada berpesan dan berharap agar saya berjaya di peringkat Sukan SEA.
"Allahyarham mahu saya meraih pingat emas di Sukan SEA kerana sepanjang lima kali penyertaan saya, pencapaian terbaik saya hanya pingat perak pada Sukan SEA Manila,'' katanya.
Acara 110m lari berpagar merupakan antara lapan emas yang disasarkan Malaysia di Laos, selain 400m dan 400m berpagar wanita (Noraseela Khalid), lompat bergalah wanita (Roslinda Samsu), baling tukul besi wanita (Tan Soon Hwa), lompat tinggi lelaki (Lee Hup Wei), 20km jalan kaki lelaki (Teoh Boon Lim) dan kuartet 4x400 lelaki. UTUSAN
No comments:
Post a Comment