Tuesday, November 24, 2009

Peluang tamatkan kemarau




TIDAK keterlaluan jika dikatakan bahawa inilah barisan terbaik skuad bola sepak bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan untuk menamatkan kemarau 20 tahun tanpa kilauan pingat emas dalam acara bola sepak pada temasya Sukan SEA.

Kali terakhir skuad bola sepak meraih pingat emas ialah pada Sukan SEA 1989 yang berlangsung di Kuala Lumpur dan mereka hampir menamatkan kemarau itu pada Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur tetapi tewas kepada Thailand pada perlawanan akhir.

Dua edisi berikutnya pada 2003 dan 2005, Malaysia sekadar meraih pingat gangsa tetapi pencapaian lebih teruk dialami selepas itu apabila skuad B-23 negara pulang tanpa sebarang pingat pada temasya di Korat, Thailand pada 2007.

Kini Vientiane, Laos bakal menjadi medan buat skuad B-23 negara menamatkan kemarau 20 tahun itu atau sekurang-kurangnya membawa pulang sebutir pingat seperti dititahkan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah kelmarin.

Jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal berkata, sasaran awal ialah memastikan skuad kendaliannya itu berjaya melepasi saingan peringkat kumpulan untuk muncul dua pasukan teratas layak ke separuh akhir.

"Kami diletak dalam Kumpulan A. Thailand dan Vietnam saya anggap sebagai pasukan yang bakal memberi rintangan kuat manakala dua lagi pasukan, Timor Leste dan Kemboja juga kita tidak boleh pandang mudah.

"Tapi perlawanan pertama bertemu Timor Leste pada 2 Disember depan cukup penting untuk kita mendapat keyakinan dan saya mahu tiga mata penuh diraih pada perlawanan itu," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.


SKUAD B-23 yang dipertanggungjawabkan untuk membawa pulang pingat dari Laos.


Hanya 20 pemain B-23 negara bakal terbang ke Vientiane Isnin depan dengan menaiki pesawat Charlie milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Rajagobal mempunyai empat lagi kekosongan yang akan menjadi perebutan barisan pelatihnya itu.

"Daripada 25 pelatih ketika ini, saya sudah ada bayangan untuk slot 16 pemain. Baki empat lagi slot, saya akan umumkan selepas aksi persahabatan menentang Maldives pada Khamis ini.

"Perlawanan ujian itu medan terbaik untuk saya menilai beberapa pemain yang baru pulih daripada kecederaan seperti Asraruddin Putra Omar, Azmi Muslim, Farderin Kadir dan Abd. Manaf Mamat," jelas Rajagobal.

Sementara itu, Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Laos, Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz berkata, secara peribadinya dia tetap berharap skuad bola sepak negara itu dapat membawa pulang pingat emas daripada Vientiane nanti.




"Sesiapa pun mampu untuk meraih pingat emas. Sikap itu yang saya mahukan. Jika 100 peratus usaha diberikan, peluang untuk menjadi juara tetap ada. Semua pemain kena ada sikap untuk menang.

"Kita anggap Sukan SEA ini sebagai langkah pertama untuk skuad bola sepak negara kembali mencapai kecemerlangan di peringkat antarabangsa. Saya yakin dengan barisan muda negara ini," katanya ketika melawat latihan skuad B-23 negara petang semalam sambil ditemani Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad.

No comments:

Post a Comment