Tuesday, November 24, 2009

Mudah bagi Chong Wei di Laos


CHONG WEI menjadi pertaruhan Malaysia untuk meraih pingat emas dalam acara perseorangan lelaki.

PEMAIN badminton No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei dijangka menghadapi laluan mudah ke peringkat separuh akhir apabila beliau diundi menentang pemain bukan pilihan pada pusingan pertama dan suku akhir di Sukan SEA Laos bulan depan.

Pada undian yang dilakukan di Vientiane, Laos itu, Chong Wei, pemain pilihan utama temasya dwi tahunan itu diramal mudah mengatasi pemain Vietnam, Nguyen Hoang Hai sebelum berhadapan sama ada Phakomkham Fongmalayseng dari Laos atau Patricque Francisco De Jesus Magnete dari Filipina pada peringkat suku akhir.

Jika menang, Chong Wei akan berhadapan sama ada pemain pilihan ketiga Boonsak Ponsana dari Thailand atau pemain bukan pilihan Simon Santoso dari Indonesia pada perlawanan separuh akhir.

Bagi undian lain, juara Seluruh England 2003 Muhammad Hafiz Hashim akan berhadapan dengan pemain pilihan keempat, Sony Dwo Kuncoro dari Indonesia.

Jika Muhammad Hafiz berjaya menewaskan Kuncoro, pemain Malaysia itu terpaksa menentang pemain pilihan kedua Nguyen Tien Minh dari Vietnam.

Pemain Vietnam itu pernah menewaskan Chong Wei dalam permainan rubber set pada pusingan kedua Terbuka Singapura, Jun lepas.

Nasib Chong Wei sama ada akan bertanding pada Sukan SEA atau tidak akan ditentukan minggu ini kerana beliau dilaporkan keletihan selepas mengharungi satu demi satu kejohanan dalam tempoh dua bulan lepas.

Menurut peraturan Sukan SEA, pemain utama Malaysia itu hanya boleh digantikan jika beliau mengemukakan sijil perubatan mengenai kecederaannya.

Chong Wei tidak pernah memenangi pingat emas dalam acara perseorangan lelaki dalam temasya sukan serantau itu.

Bagi perseorangan wanita, ratu badminton Malaysia, Wong Mew Choo, yang menjadi pilihan ketiga memperoleh bye dalam pusingan pertama sebelum berhadapan sama ada pemain Indonesia, Maria Kristin Yulianti atau pemain Singapura Xing Aiying pada peringkat suku akhir.

Bagi acara beregu lelaki, pasangan No.1 dunia dan pilihan kedua Sukan SEA, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dijangka menempah tiket ke perlawanan akhir jika mereka berjaya menewaskan pasangan muda dari Indonesia, Bona Septano-Mohammad Ahsan di peringkat suku akhir.

Satu lagi beregu Malaysia, Mohd. Fairuzizuan Mohd. Tazar-/Mohd. Zakry Abd Latif akan menghadapi juara Olimpik dari Indonesia yang juga pilihan utama, Hendra Setiawan-Markis Kido pada separuh akhir.

Beregu wanita utama Malaysia, Chin Eei Hui-Wong Pei Tty juga mempunyai undian yang memihak mereka apabila bertemu pasangan bukan pilihan dan dijangka berhadapan sama ada pilihan ketiga Meiliane Jauhari-Shendy Puspa Irawati dari Indonesia atau bukan pilihan Duanganong Arronkesorn-Kunchala Voravichitchaikul dari Thailand pada separuh akhir. -KOSMO

No comments:

Post a Comment