Tuesday, November 17, 2009

'MGA tak pilih kasih pilih wakil ke Laos'

"TIADA pilih kasih dan hanya atlit terbaik akan dihantar ke Sukan Sea Laos." Itu janji Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA) Datuk Robin Loh.


“Kami akan mengadakan sesi pemilihan dalam masa terdekat bagi menentukan atlit yang akan mewakili negara ke Sukan Sea Disember nanti. Saya akan pastikan tiada pilih kasih dalam pemilihan itu,” katanya pada sidang media pelancaran Terbuka Malaysia Maybank 2010, semalam.

Selain Sukan Sea, MGA turut merangka program pembangunan intensif dalam usaha menyediakan atlit terbaik ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil bermula tahun depan.


“Saya berjanji, dengan kewangan yang terhad ini, kami akan tetap menjalankan program memupuk pemain-pemain muda negara bagi Sukan Olimpik 2016. Sasaran kami sekurang-kurangnya atlit negara berjaya melepasi pusingan kelayakan,” katanya.

Menyentuh mengenai kegagalan MGA menghasilkan atlit berwibawa di peringkat antarabangsa, Loh yang mengambil alih tampuk pentadbiran badan itu sejak tahun lalu berkata: “Ini masalah utama yang berlaku sejak 80 tahun dulu.

“Sebelum ini persatuan tidak menjaga atlit-atlit remaja, wanita dan profesional negara menyebabkan wujudnya persatuan baru seperti MALGA dan MPGA.

“Mengikut undang-undang, hanya ada satu badan induk sesuatu jenis sukan di setiap negara dan bagi golf di Malaysia - MGA. Saya harap pertikaian ini akan selesai dalam masa terdekat dan tumpuan akan beralih kepada usaha membangunkan atlit-atlit muda,” katanya. -BHARIAN

No comments:

Post a Comment