EMPAT pingat emas yang disasarkan oleh skuad menembak negara pada Sukan SEA di Laos bulan depan tidak mustahil untuk dicapai.
Ini kerana, prestasi penembak negara dilihat semakin mantap seperti yang terbukti pada Kejohanan Menembak Kebangsaan di Lapang Sasar Subang kelmarin.
Meskpun tidak banyak rekod kebangsaan diperbaharui tetapi konsistensi mereka sekurang-kurangnya membawa harapan bahawa emas di Laos bakal dicapai dengan mudah.
Menurut Setiausaha Eksekutif Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM), Mejar (B) Jasni Shaari, pingat emas itu disasarkan menerusi sembilan acara yang dipertandingkan.
"Atas kertas, ia mungkin mampu dicapai tetapi kami tidak boleh terlalu yakin. Macam-macam boleh berlaku pada hari pertandingan sebenar," katanya.
Antara acara yang disertai oleh skuad kebangsaan di Laos nanti ialah Rapid Fire Pistol lelaki, Raifal wanita, Raifal 3 Posisi wanita, Raifal Prone wanita, Air Raifal wanita, Sport Pistol wanita dan Air Pistol wanita.
"Saya harap sasaran untuk empat pingat emas akan tercapai berdasarkan latihan mereka selama ini.
"Saya juga sudah menilai kemampuan penembak luar negara, khusunya negara yang menjadi pencabar utama kita. Ada acara yang mereka bagus dan sebaliknya. Jadi empat emas itu saya yakin penembak kita boleh capai," katanya ketika dihubungi semalam.
Mengenai persiapan skuad kebangsaan, Jasni memberitahu, mereka akan kembali berlatih di Langkawi selama 10 hari untuk latihan pusat dan selepas itu akan kembali ke ibu negara sebelum Hari Raya Aidiladha pada 27 November ini.
Jelasnya, persiapan penembak menjelang Sukan SEA kali ini agak berbeza daripada persiapan dua tahun lalu kerana tahun ini semuanya lebih teratur dan tersusun.
"Saya yakin 14 penembak kita mampu beraksi dengan baik setanding dengan Thailand dan Vietnam walaupun kedua- dua negara itu menyertai lebih banyak acara pada temasya kali ini," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyandarkan harapan kepada tiga penembak muda yang berusia bawah 21 tahun, iaitu Nur Ayuni Farhana Abdul Halim, adiknya, Mohd. Norahimin dan Muhd Zubair Muhamad.
"Mereka dilihat semakin menyerlah dan saya tidak akan terkejut jika mereka berjaya melakar kejutan di Laos nanti," katanya.-KOSMO
No comments:
Post a Comment