SASARAN lapan pingat emas pada temasya Sukan SEA XXV di Laos, Disember ini mungkin masih belum cukup untuk memulihkan imej skuad olahraga negara yang kini dikritik hebat.
Setelah gagal mencapai sasaran 10 emas pada temasya di Korat dua tahun lalu (dengan hanya membawa pulang tujuh emas sahaja), skuad olahraga berazam mahu menebusnya di Laos nanti.
Pencapaian di Vientiane nanti bukan sahaja bakal mempengaruhi tanggapan peminat tempatan terhadap sukan olahraga di negara ini, malah akan dianggap sebagai pengukur terhadap keupayaan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) melahirkan atlet-atlet olahraga yang berkualiti pada masa depan.
Begitu pun, bagi Timbalan Presi- den KOAM, Karim Ibrahim, walaupun sedar banyak pihak kini hanya menunggu masa untuk 'menghentam' kelemahan badan sukan olahraga negara itu, beliau bagaimanapun tetap meletakkan sepenuh kepercayaan kepada 30 atletnya yang bakal menggalas cabaran di bumi Laos nanti.
|
|
"Memang KOAM banyak berdepan kritikan sejak gagal mencapai sasaran 10 emas pada Sukan SEA Korat dua tahun lalu, malah keputusan kami mengubah sasaran pada temasya di Laos daripada 10 emas kepada lapan emas memburukkan lagi imej KOAM," kata Karim kepada Kosmo! semalam.
"Begitupun, kami ada sebab mengapa sasaran tersebut perlu diubah. Pertama, kerana pemenang acara 20km jalan kaki, Yuan Yu Fang tidak dapat mempertahankan emas yang dimenanginya di Korat manakala Rayzamshah Wan Sofian (110m lari berpagar) pula masih belum pulih daripada kecederaan.
"Oleh itu, KOAM hanya meletakkan sasaran lapan emas berdasarkan keupayaan dan prestasi semasa atlet yang kita ada selain mengambil kira pencapaian mereka pada temasya di Korat," katanya lagi.
Dalam acara olahraga yang akan bermula pada 13 Disember ini, lapan kilauan emas yang menjadi sandaran oleh KOAM bakal hadir menerusi ratu lompat bergalah Asia Tenggara, Roslinda Samsu, Noraseela Mohd. Khalid (400m lari berpagar wanita), Tan Song Hwa (baling tukul besi), Lee Hup Wei (lompat tinggi), Lo Choon Sieng (20km jalan kaki), kuartet 4x400m lelaki dan M. Vadivellan (800m, 5000m, 1500m).
Justeru, berdasarkan prestasi semasa semua atlet yang berjaya melepasi had kelayakan ke Sukan SEA ini (kategori A), Karim yakin kem olahraga negara berpeluang melepasi sasaran lapan emas sekiranya ada atlet lain yang berjaya membuat kejutan di Vientiane nanti.
"Sasaran yang kita letakkan boleh dikatakan sebagai sasaran yang rasional, betul-betul prospek emas berdasarkan prestasi dan pencapaian atlet ini pada kejohanan yang lepas.
"Selain itu, kami juga berharap agar ada atlet lain yang tidak termasuk dalam sasaran emas ini, berjaya membuat kejutan untuk menambah kilauan emas supaya sasaran ini bukan saja berjaya dicapai, malah turut berjaya dilepasi.
"Begitupun, semua ini akan hadir dengan syarat semua lapan atlet prospek emas ini berjaya merealisasikan sasaran yang diletakkan ke atas bahu mereka," tambah Karim lagi.
Sementara itu, KOAM turut berhajat menghantar enam atlet pelapis negara ke temasya Sukan SEA Laos ini bagi mengukur sejauh mana peningkatan mereka dalam program pelapis yang direncanakan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).
"Setakat ini enam atlet pelapis telah berada dalam senarai pendek skuad yang akan ke Laos nanti, namun mereka akan ke sana menerusi tiket kategori B.
"Namun, semua ini masih belum diputuskan kerana kami akan menilai prestasi mereka sepanjang kem lati- han pusat yang bermula esok (hari ini) dan juga prestasi mereka pada Terbuka Perak baru-baru ini. Atlet yang tidak menunjukkan sebarang peningkatan akan diketepikan.
"Kami tidak mahu hantar bilangan atlet pelapis yang ramai sebagai pendedahan, jadi kami terpaksa memilih atlet yang terbaik sahaja," katanya lagi. KOSMO
No comments:
Post a Comment