Friday, September 4, 2009

'Ranking 10, 12 terbaik dunia tiada erti'


Oleh Meor Hisham Zulkifli
sham@bharian.com.my

GUNDAH Che Chew Chan dan Elaine Teo jelas difahami, betapa tiada guna mereka berada di kelompok terbaik taekwondo dunia, andai terhalang daripada menyertai kejohanan antarabangsa ketika pemimpin badan induk memilih untuk terus bercakaran.

Dalam ranking terbaru dikeluarkan Persekutuan Taekwondo Dunia (WTF), Chew Chan berada di ranking ke-10 dunia dalam kategori lebih 70 kilogram selain menduduki tangga keempat Asia dan berkedudukan emas untuk Sukan Sea di Laos, Disember ini.

Sementara itu, Elaine pula menduduki tempat ke-12 dunia dengan ranking keenam Asia dan buat masa ini juga dilihat mampu mempertahankan pingat emas dimenanginya di Korat, dua tahun lalu dalam edisi ke-25 di Laos kelak.

Jurulatih taekwondo, R Dhanaraj, berkata dua atlit ini yang masing-masing menduduki tempat ketujuh di Olimpik Beijing, tahun lalu, mampu mengulangi persembahan terbaik mereka andai terus mendapat pendedahan dan latihan mencukupi.

“Namun kita hanya mempunyai saingan peringkat kebangsaan dengan Elaine menang emas dalam kejohanan anjuran Majlis Sukan Universiti dan Terbuka Selangor manakala Chew Chan kali terakhir menang dalam kejohanan kebangsaan pada tahun lalu.

“Pada tahun ini, mereka tidak mempunyai sebarang kejohanan luar dan nyata andai keadaan ini berterusan, kita bimbang mereka tidak dapat cukup pendedahan untuk mempertahankan emas di Laos kelak,” katanya.

No comments:

Post a Comment