Friday, September 4, 2009

Basikal wanita sasar dua emas di Sukan SEA


(dari kiri) Masziyaton Mohd. Radzi, Nurul Ahmar Badeuzzaman, Mariana Mohamad dan Nor Azian Alias akan membawa cabaran basikal wanita di Sukan SEA Laos, Disember ini.


KUALA LUMPUR – Walaupun masih dibelenggu masalah kekurangan atlet, skuad berbasikal lebuh raya wanita negara yakin mampu membawa pulang sekurang-kurang dua pingat emas pada temasya Sukan SEA di Laos, Disember ini.

Jurulatih skuad berbasikal lebuh raya wanita, Mohd. Shari Mohamad Nor berkata, walaupun jumlah pelumba wanita negara kecil, ini tidak bermakna ia akan menyekat peluang anak didiknya untuk memburu pingat emas di Laos nanti.

“Keadaan lebuh raya yang mendatar dan tidak berbukit tidak akan menyukarkan pelumba kita dan ini menambah lebih keyakinan kepada saya untuk meletakkan sasaran dua pingat emas,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata, lima pelumba wanita yang akan menggalas cabaran di Laos ialah Mariana Mohamad, Noor Azian Alias, Masziyaton Mohd. Radzi, Kimbeley Yap Fui Lai dan Nurul Ahmar Badeuzzaman, dan beliau meletakkan sandaran pingat emas kepada dua pelumba seniornya, Mariana dan Noor Azian.

Walaupun saingan untuk memperoleh pingat emas bagi skuad wanita kurang cabaran, namun skuad negara terpaksa berhati-hati dengan pelumba wanita Thailand yang dijangka memberi saingan sengit kepada skuad negara, katanya.

“Disebabkan kekurangan kejohanan berbasikal bagi kategori wanita, skuad berbasikal lebuh raya wanita akan menjalani latihan di Melbourne, Australia selama sebulan lebih bermula awal Oktober ini kerana di sana ada kejohanan mingguan untuk kategori wanita,” katanya. – Bernama

No comments:

Post a Comment