Tuesday, August 4, 2009

Jonathan cipta kejutan ketepikan Olimpian negara

Oleh Mohd Ali Majid
bhsukan@bharian.com.my


JONATHAN mencatat 574 mata pada peringkat saringan untuk mengumpul 672.1 mata di final dalam acara 10 meter pistol angin tetapi ia tidak mencukupi untuk layak ke Sukan Sea Laos Disember nanti.

PENEMBAK remaja dari Melaka, Jonathan Wong membuat kejutan apabila meraih emas acara 10 meter pistol angin dengan mengetepikan Olimpian negara, Hasli Izwan Amir Hasan (gambar).

Namun catatan 574 mata pada peringkat saringan untuk mengumpul 672.1 mata di final tidak melayakkannya untuk ke Sukan Sea Laos Disember nanti.

"Dengan nama-nama besar seperti Hasli beraksi berhampiran saya, saya gementar tetapi saya cuba bertenang dan berjaya memberikan persembahan yang terbaik," kata Jonathan.

Ini adalah kali kedua Hasli Izwan gagal meraih emas di Mini Olimpik selepas acara 25m rapid fire pistol. Namun dia tidak kecewa dan menganggap keadaan tidak menyebelahinya.

Hasli yang bersaing di Sukan Olimpik Beijing 2008 dalam acara rapid fire pistol, berkata dia tidak berapa sihat kerana diserang demam selsema sejak hari pertama kejohanan.

"Memandangkan ini kejohanan Mini Olimpik pertama, saya gagahkan juga untuk menyertai dua acara yang dipertandingkan.

"Hari ini (semalam) saya masih belum sihat tetapi tetap mahu bersaing, sekali gus memberi semangat kepada rakan penembak yang lain" katanya yang sebelum ini sudahpun mengesahkan tempat ke Sukan Sea Laos Disember.

No comments:

Post a Comment