| |
PINGAT emas acara taekwondo pada Sukan SEA Laos lebur.
Ia ekoran keputusan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) semalam yang memutuskan untuk tidak menghantar atlet taekwondo negara ke temasya dwitahunan itu.
Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi (gambar) berkata, keputusan itu dibuat kerana Malaysia tidak lagi mempunyai badan induk bagi sukan tersebut setelah Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA) dibubarkan pada 5 Julai 2007.
“Secara teknikal kita tidak dapat menghantar atlet selagi MTA baru tidak ditubuhkan dalam masa terdekat ini,” katanya.
Pada temasya Sukan SEA di Laos nanti, Malaysia akan mengambil bahagian dalam 20 acara iaitu akuatik, memanah, olahraga, badminton, biliard dan snuker, tinju, berbasikal, bola sepak, golf, judo, karate-do, pencak silat, petanque, sepak takraw, menembak, ping pong, tenis, bola tampar, angkat berat dan wusyu.
Sementara itu, bekas Naib Presiden MTA, Nur Ekmal Buhary berkata, atlet taekwondo tidak sepatutnya menjadi mangsa keadaan ekoran konflik dalaman yang menimpa persatuan tersebut.
“Saya harap jawatankuasa ad-hoc MTA yang kini dipengerusikan sendiri oleh Presiden MOM, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar segera mengambil tindakan bagi menyelesaikan masalah ini sebelum terlambat,” katanya. - KOSMO
No comments:
Post a Comment