
KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini memutuskan untuk tidak menghantar atlet taekwondo negara bagi menyertai temasya Sukan SEA di Laos pada awal Disember nanti.
Setiausaha Kehormat MOM Datuk Sieh Kok Chi berkata keputusan itu dibuat kerana Malaysia tidak lagi mempunyai badan induk bagi sukan tersebut setelah Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA) dibubarkan pada 5 Julai 2007.
"Secara teknikal kita tidak dapat menghantar atlet selagi MTA baru tidak ditubuhkan dalam masa terdekat ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Selasa.
Pada temasya Sukan SEA di Laos nanti, Malaysia akan mengambil bahagian dalam 20 acara iaitu akuatik, memanah, olahraga, badminton, biliard dan snuker, tinju, berbasikal, bola sepak, golf, judo, karate-do, pencak silat, petanque, sepak takraw, menembak, ping pong, tenis, bola tampar, angkat berat dan wushu.
Sementara itu, bekas Naib Presiden MTA Nur Ekmal Buhary berkata atlet taekwondo tidak sepatutnya menjadi mangsa kepada keadaan ekoran konflik dalaman yang menimpa persatuan tersebut.
"Saya harap jawatankuasa Ad-Hoc MTA yang kini dipengerusikan sendiri oleh Presiden MOM Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar segera mengambil tindakan bagi menyelesaikan masalah ini sebelum terlambat," katanya.
Nur Ekmal berkata apabila MTA dibubarkan, tanggungjawab untuk menjaga masa depan atlet dipikul oleh jawatankuasa Ad-Hoc dan mereka tidak seharusnya memandang ringan akan tugas tersebut.
Beliau berkata sepanjang 2009 atlet taekwondo negara tidak mengikuti sebarang kejohanan akibat daripada pembubaran tersebut dan sekiranya perkara ini terus dibiarkan tidak lama lagi Malaysia akan kehilangan atlet taekwando bertaraf Olimpik.
"Saya harap MOM mampu melakukan sesuatu bagi memberi peluang kepada atlet taekwondo mengikuti temasya dwi-tahunan tersebut seperti yang pernah diusahakan sebelum ini," katanya.
Sebelum ini MOM pernah campur tangan bagi membolehkan atlet taekwondo negara menyertai Sukan SEA di Korat, Thailand (2007) dan Olimpik Beijing (2008).
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment