Itu yang berlaku kepada atlet lontar peluru lelaki negara Adi Aliffudin Hussin dalam Sukan SEA 2015 apabila sekadar berupaya mengutip pingat gangsa dengan jarak lontaran 16.96 meter sekali gus gagal mengatasi pencapaian pingat perak di Myanmar dua tahun lalu.

Adi mendapatkan catatan tersebut menerusi lontaran pertama namun selepas itu prestasinya merosot serta tidak konsisten hingga gagal mengatasi jarak lontaran dua atlet dari Thailand iaitu Promrob Juntima yang meraih pingat emas dengan catatan 17.47m dan pemenang pingat perak Chatchawal Polyiam, 17.07m.
Adi berkata, kesilapan dalam teknik melontar menjadi punca utama dia sukar untuk mendapatkan jarak yang jauh.


“Saya sudah berusaha melakukan yang terbaik. Pesaing kali ini amat hebat namun ini tidak mematahkan semangat saya.

“Keputusan ini tetap menggembirakan kerana dapat mengatasi catatan terbaik saya musim ini dan saya juga berterima kasih kepada Persekutuan Olahraga Malaysia (MAF) dan Majlis Sukan Negara (MSN) kerana memberikan kepercayaan kepada saya,” katanya selepas tamat acara tersebut di Stadium Nasional Singapura semalam.

Dalam Sukan SEA 2013, Adi meraih pingat perak dengan jarak lontaran 17.10m.

Sementara itu, dalam saingan lompat jauh wanita menyaksikan wakil negara Noor Amira Mohamad Nafiah hanya mampu menamatkan aksi di tempat ketujuh dengan jarak 6.08m manakala dalam saingan 800m lelaki, M. Kasaven menamatkan saingan di tempat keempat dengan catatan masa satu minit, 53.30 saat.

 – UTUSAN