Sunday, June 7, 2015

Pungut emas dalam gementar

JUN Hoong sumbang emas buat negara.

Terjun menceriakan kem negara apabila menghadiahkan dua pingat emas menerusi Cheong Jun Hoong dan gandingan Chew Yi Wei-Ooi Tze Liang, masing-masing menerusi acara 3 meter papan anjal wanita dan 10m platform seirama lelaki semalam.

Walaupun sedikit tertekan, penerjun wanita negara Jun Hoong cemerlang dengan mengumpul 349.65 mata di Pusat Akuatik OCBC, mengenepikan rakan senegara, Wendy Ng perak (309.20), manakala atlet tuan rumah, Fong Kay Yian gangsa (258.90).

“Saya bermula dengan sedikit gementar, tapi selepas itu hanya memikirkan mengenai terjunan sendiri dan melakukan apa yang sepatutnya dibuat,” katanya kepada media selepas tamat saingan semalam.

Jelasnya, walaupun cuba dicabar Wendy, dia tidak terlalu memikirkan aksi rakannya itu dan hanya fokus terhadap terjunan sendiri serta bertekad mahu melakukan yang terbaik bagi menambah koleksi emas Malaysia.


“Saya juga berharap agar rakan lain terutama atlet muda mampu melakukan yang terbaik dan menyapu semua emas. Ini juga aksi tunggal saya di Singapura dan lega dapat mempertahankannya.

“Sukan SEA memang kurang sengit berbanding Siri Terjun Dunia tapi sekurang-kurangnya penyertaan di sini dapat mengukur tahap keupayaan saya dan memperbaiki kelemahan yang ada,” katanya.

Sementara itu, gandingan Chew Yi Wei-Ooi Tze Liang tidak berdepan masalah meraih emas dalam acara 10 meter platform seirama lelaki apabila mengumpul 404.37 mata, mengenepikan pasangan Indonesia, Andriyan-Adityo Restu Putra kedua (355.11). Gangsa milik Theerapat Siriboon-Yotsawat Juntaphadawon dari Thailand (316.77).

“Kami melakukan terjunan dengan baik dan tidak terlalu teruk, tempoh sebulan berlatih di China ternyata memberikan kesan dari segi kualiti. Saya gembira dengan emas pertama di Sukan SEA ini,” kata mereka.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment