Sunday, June 7, 2015

Lu Yi puas

LU Yi menunjukkan pingat perak dimenangi dalam acara taijiquan.

Kurang 0.04 mata menjadi penyebab utama atlet wushu negara, Chan Lu Yi hanya menggenggam pingat perak acara taijiquan semalam.

Lu Yi sekadar meraih 9.65 mata, manakala emas milik wakil tuan rumah, Tan Yan Ning yang mengumpul 9.69 dan gangsa pula digondol rakan senegaranya, Ho Lin Ying (9.64).

Menurut Lu Yi, walaupun ini Sukan SEA pertamanya, dia tidak terkejut dapat meraih perak dan berpuas hati dengan prestasinya semalam.

“Sejak usia tujuh tahun saya membabitkan diri dalam acara ini sebelum diserapkan dalam skuad kebangsaan pada 2013. Sekarang saya masih lagi atlet pelapis,” katanya yang berusia 18 tahun.


Pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu berjanji akan memberikan persembahan terbaik untuk acara keduanya dalam disiplin taijiquan hari ini.

“Saya tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi cukup sekadar memenangi pingat tidak kisah apa warna sekali pun,” katanya.

Seorang lagi peserta negara yang beraksi dalam acara sama Audrey Chan Yee Jo menduduki tempat keempat dengan 9.49 mata.

Sementara itu, dua lagi acara membabitkan changquan dan sanda 65kg lelaki menyaksikan peserta negara gagal menyerlah.

Wong Weng San meraih 9.47 mata dalam acara changquan untuk menduduki tempat keempat.

Tan Jia Guan pula kecundang di pusingan awal acara sanda 65kg lelaki apabila tumpas kepada Sony Rizaldi dari Indonesia dengan 0-2.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment