Perenang kelahiran Johor, Wong Fu Kang membuktikan kehebatan sebenar di Pusat Akuatik OCBC apabila berjaya meraih pingat emas acara 100 meter kuak dada sekali gus memecah rekod kebangsaan miliknya sendiri semalam.
Fu Kang mencatat masa satu minit 2.46 saat bagi memecahkan rekod lama 1:02.56s yang dilakukan pada Terbuka Malaysia Mac lalu di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.
Pingat perak milik Radomyos Matjiur dari Thailand dengan catatan 1:02.63s, manakala Joshua Hall dari Filipina hanya berpuas hati di tempat ketiga (1:02.87s).
Menurut perenang berusia 16 tahun itu, berjaya meraih emas dan pingat pertama adalah satu pengalaman sangat luar biasa selepas dia berlatih bersungguh-sungguhro sebagai persediaan ke temasya itu.
“Saya berjaya menebus kekecewaan semalam (kelmarin) dalam acara 200m kuak dada. Sebenarnya saya melakukan kesilapan, berenang terlalu laju ke depan tapi ia pengajaran berguna buat saya,” katanya.
Jelasnya, pingat emas semalam ditujukan kepada kedua ibu bapanya yang sentiasa memberi sokongan sepanjang kariernya dalam sukan renang dan dalam masa yang sama berharap mampu mencatat keputusan cemerlang dalam acara terakhir 50m kuak dada Khamis ini.
“Saya harap dapat mencatat keputusan sama bagi acara terakhir itu. Pada saya Sukan SEA salah satu temasya terbesar yang perlu buat saya meraih keputusan cemerlang walaupun saya antara perenang termuda.
“Sebenarnya saya agak gementar sebelum turun ke kolam renang dan terpaksa berdepan Radomyos yang meraih emas semalam. Bagaimanapun, pada 50 meter terakhir saya dapat lihat kebanyakan mereka sudah keletihan,” katanya yang akan beraksi di Kejohanan Dunia di Kazan Julai ini.
Selain Fu Kang, kuartet 4x200 gaya bebas berganti-ganti yang membariskan Daniel Bego, Kevin Yeap, Wilson Sim dan Lim Chi Wing meraih perak dengan catatan masa 7:30.13s, emas milik Singapura (7:18.14s) dan Indonesia memenangi gangsa (7:35.63s).
Sumber: Harian Metro
No comments:
Post a Comment