Tuesday, May 14, 2013

CDM ke Myanmar bakal diketahui hari ini

Kuala Lumpur: Teka-teki mengenai siapa yang bakal menggalas tugas sebagai Chef de Mission (CDM) ke Sukan SEA Myanmar pada Disember ini mungkin bakal terjawab hari ini.

Difahamkan perkara itu akan dibangkitkan pada Mesyuarat Lembaga Majlis Olimpik Malaysia (MOM) ke-21 yang dipengerusikan Presiden MOM Tunku Imran Tuanku Ja'afar.

“Memang perkara mengenai perlantikan CDM akan dibangkitkan esok (hari ini) dan keputusan muktamad juga akan diketahui. Setakat ini, seperti yang pernah dinyatakan Tan Sri Mohamad Noor (Abdul Halim), hanya seorang individu dicalonkan tapi tak tahu pula kalau esok akan ada tambahan calon lain,” kata sumber semalam.

Sebelum ini, timbul persoalan mengenai perlantikan CDM untuk ke temasya sukan dwi tahunan itu yang dikatakan agak lewat berbanding negara lain seperti Thailand yang sudah pun membuat lantikan CDM lebih awal.

Malah Mohamad Noor yang juga Naib Presiden MOM mendedahkan, hanya Datuk Wira Amiruddin Embi, satu-satunya calon yang dicadangkan untuk menggalas tugas sebagai CDM.

Amiruddin ialah Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) dan juga bekas Ketua Polis Negeri Sembilan dan Perak.

Latar belakangnya itu menurut Mohamad sememangnya cukup sesuai bagi menggalas tugas CDM jika melihat kepada aspek keselamatan di Myanmar.

Negara jiran itu ketika ini sedang berdepan dengan krisis pergolakan perkauman membabitkan etnik Islam Rohingya serta penganut Buddha yang mencetuskan situasi tegang serta pertumpahan darah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment