Monday, November 21, 2011

Sukan SEA: Malaysia Sapu Bersih Renang Berirama


PALEMBANG, 21 Nov (Bernama) -- Selepas 10 tahun acara renang berirama tidak dipertandingkan, Malaysia kembali menguasai acara itu dengan membolot kelima-lima pingat emas yang ditawarkan pada Sukan SEA Indonesia.

Pada hari terakhir acara renang berirama Sukan SEA ke-26 yang berlangsung di Pusat Akuatik Jakabaring di sini pada Isnin, Malaysia menjuarai kategori Kombinasi Bebas berpasukan.

Pasukan negara terdiri Katrina Ann Abdul Hadi, Tan May Mei, Mandy Yeap, Shareen Hui, Tasha Jane Taher Ali, Emanuella Mah, Gan Zhen Yu, Zyanne Lee, Zylane Lee dan Ling Yeo Pei telah mempamerkan persembahan yang konsisten dan bertenaga.

Mereka memperoleh 37.213 mata untuk merit teknikal dan 38.150 mata untuk penataan artistik untuk mengumpul 75.363 mata, diikuti Singapura dengan 73.101 mata dan Indonesia dengan 71.713 mata.

"Ianya satu pencapaian yang baik buat atlet kita. Mereka telah mempamerkan kesungguhan untuk melakukan yang terbaik di sini.

"Sasaran kita hanya tiga pingat emas dan mereka telah berjaya meraih lima pingat emas. Tidak sangka kita ulangi kejayaan di Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur," kata pengurus pasukan Sui Wai Leng.

Menurutnya ia secara langsung menunjukkan Malaysia mempunyai skuad renang berirama yang terbaik di rantau Asia Tenggara.

"Bagaimanapun, di peringkat Asia, kita masih jauh di belakang Korea Selatan, Jepun dan China," katanya.

Pada Sukan Asia Guangzhou di China tahun lepas, pasukan renang berirama negara berada di kedudukan kelima.

Skuad di bawah bimbingan jurulatih dari China, Long Yan sejak 2009, akan meneruskan latihan bagi menghadapi kelayakan Sukan Olimpik London yang akan berlangsung April tahun depan.

-- BERNAMA

Daripada Farhanah Azmi

No comments:

Post a Comment