Monday, November 14, 2011

Kolam renang sumbang dua perak

PALEMBANG - Hasrat untuk melihat kilauan emas di Pusat Akuatik Jakabaring tidak berhasil apabila skuad renang negara hanya meraih dua pingat perak dalam enam acara akhir yang berlangsung semalam, tatkala Singapura menunjukkan taring dengan membolot lima pingat emas.

Marellyn Liew berjaya meraih perak dalam acara 100 meter kuak kupu-kupu, sebelum membantu kuartet 4x100 meter rampaian wanita mengulangi pencapaian yang sama bagi mengubat kekecewaan skuad renang negara.

Perenang wanita harapan, Khoo Cai Lin sekadar menduduki tempat keempat 200m gaya bebas, diikuti Yap See Tuan yang turut mengakhiri renangan di tempat keempat dalam 200m kuak dada dan Foo Jian Beng menduduki tempat terakhir acara 50m kuak kupu-kupu.

Menurut jurulatih renang negara, Paul Birmingham ia bukanlah aksi yang agak mengecewakan daripada anak-anak buahnya tetapi mungkin kerana mereka kurang bernasib baik dan acara kegemaran belum bermula.

"Saingan hari ini (semalam) sangat sengit jadi saya tidak terlalu kecewa acara yang dikuasai oleh perenang Malaysia masih belum bermula, lagi pun kejohanan ini masih lagi panjang," katanya ketika ditemui media selepas saingan berakhir semalam.

Jelasnya, nasib mereka agak kurang baik terutama kuartet renang wanita yang diketuai oleh Cai Lin, Marellyn, Chan Kah Yan dan Leung Chii Lin yang hampir memecah rekod kebangsaa.

"Perenang saya juga ada yang mengalami keracunan makanan dengan hampir lapan hingga sembilan orang antara mereka sakit cirit-birit tetapi ia bukanlah satu alasan mungkin kami akan bangkit semula selepas ini,'' katanya lagi. - Utusan

No comments:

Post a Comment