Thursday, December 17, 2009

Tabung dilaksana secara terbaik: Zol

GHAIRAH kemaraan skuad negara ke final temasya kali ini dan pembentukan Tabung Pembangunan Bola Sepak harus dimanfaatkan dengan sebaik mungkin supaya segala aspek yang perlu diberikan perhatian, mendapat tumpuan sewajarnya.


Sehubungan itu, Majlis Sukan Negara (MSN) akan memperkemaskan lagi kertas kerja yang sudah disiapkan sebelum ini demi menepati apa yang dimahukan oleh Kabinet.

"Sebenarnya, sejak MSN - dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) - mengambil alih program pembangunan, kita sudah menyiapkan kertas kerja mengenainya. Dengan penubuhan tabung ini, detiknya sudah tiba supaya ianya dilaksanakan secara terbaik.

"Malah saya melihat perlunya supaya syarikat berkaitan kerajaan turut membabitkan diri dalam usaha ini. Tidak perlu untuk menanti arahan, sebaliknya jadikan pembabitan dalam bola sepak sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat mereka.

"Ianya kerana bola sepak adalah sukan nombor satu negara. Kita dapat lihat reaksi seluruh peminat sukan negara. Semua orang mahu skuad bola sepak kita berjaya. Sudah tentu semua sokongan juga harus dihulurkan," kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong.

Antara tumpuan bakal diberikan MSN dalam kertas kerja itu termasuklah pembangunan jurulatih, pegawai dan program akar umbi.

"Dengan penekanan sebegitu, FAM akan dapat memberikan tumpuan yang lebih khusus kepada membina pasukan kebangsaan yang kuat," katanya.

Pengumuman tabung itu dilakukan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, hasil persetujuan Kabinet dengan jangkaan modal diperlukan di antara RM50 hingga RM60 juta setahun. BH

1 comment: