Thursday, December 17, 2009

Peluang terbaik raih emas


BARISAN wira bola sepak negara yang akan berjuang menjulang nama Malaysia di bumi Laos hari ini.


VIENTIANE, Laos - Andai mahu menamatkan kemarau 20 tahun meraih emas acara bola sepak Sukan SEA, hari ini mungkin dianggap hari terbaik buat skuad negara bimbingan K. Rajagobal melakukannya.

Pertemuan akhir menentang Vietnam pada temasya Sukan SEA XXV di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional petang ini disifatkan sebagai medan terbaik bagi anak-anak buah Rajagobal mengulangi pencapaian gemilang yang telah dijelmakan 20 tahun lalu.

Ketika itu, skuad negara yang dibimbing oleh jurulatih dari England, Trevor Hartley berjaya menewaskan Singapura 3-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

"Inilah masanya jika kita mahu mengembalikan semula kegemilangan bola sepak Malaysia. Selepas dikecam dan dikritik hebat ekoran prestasi merudum skuad bola sepak negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sekarang tibalah masanya untuk kita mengembalikan semula kepercayaan penyokong bola sepak tempatan.

"Saya harap dengan kejayaan kita mara ke final akan menjadi era baru dalam bola sepak di Malaysia. Sebelum ini, kita selalu dengar cerita dan berita yang sama....pasukan Malaysia tewas, tewas, tewas. Kali ini biarlah semua itu berubah kerana sudah terlalu lama kita menunggu untuk menantikan detik kegemlangan bola sepak Malaysia," kata Rajagobal ketika ditemui semalam.

Mengulas mengenai perlawanan hari ini, Rajagobal berkata, selain turun dengan misi memburu emas, anak-anak buahnya kini berpeluang membalas dendam ke atas Vietnam selepas kekalahan 1-3 pada aksi peringkat Kumpulan A, 6 Disember lalu.


PEMAIN negara menjalani latihan ringan semalam bagi menghadapi Vietnam pada perlawanan akhir hari ini.


"Kekalahan kepada Vietnam sebelum ini telah banyak memberi pengajaran yang berguna kepada para pemain saya. Saya telah ingatkan kepada mereka untuk bersedia dalam apa juga. Saya harus akui bahawa Vietnam sebuah pasukan yang mantap dalam semua posisi tetapi kami tidak akan mengulangi kesilapan yang sama.

"Yang penting sekali, pemain-pemain saya tidak terlalu mengikut emosi. Saya rasa perlawanan akhir nanti akan menjadi perlawanan yang cukup menarik untuk disaksikan oleh peminat bola sepak," katanya.

Rajagobal menambah, dia turut mengingatkan anak-anak buahnya untuk sentiasa berfikiran positif ketika berada di tengah padang tanpa memikirkan kekalahan kepada Vietnam sebelum ini.

"Yang lepas, biarlah ia berlalu. Perkara itu jugalah yang saya sentiasa ingatkan kepada para pemain. Mereka boleh jadikan kekalahan itu sebagai pembakar semangat untuk mencipta kemenangan. Kita hanya selangkah lagi untuk kami mencipta kemenangan dan seterusnya meraih pingat emas," jelas Rajagobal.

Ditanya tentang kehadiran semula Zaquan Adha Abdul Radzak, Rajagobal berkata, penyerang sensasinya itu belum pasti diturunkan dalam kesebelasan utama nanti.

Pada aksi final hari ini, Rajagobal dijangka sekali lagi memberi kepercayaan kepada penjaga gol keduanya, Ahmad Sharbinee Allawee untuk menjaga gawang negara sambil kapten, Aidil Zafuan Abdul Radzak menerajui benteng pertahanan bersama-sama Mohd. Muslim Ahmad, Mohd. Nasriq Baharom dan Mohd. Sabree Mat Abu. Safiq Rahim pula kekal menerajui bahagian tengah dengan Baddrol Bakhtiar, Ahmad Fakri Saarani, K. Gurusamy dan S. Kunanlan sementara Norshahrul Idlan Talaha bakal menerajui jentera serangan.

No comments:

Post a Comment