Thursday, December 3, 2009

Langkah PSM pilih Yala timbul tanda tanya


TERDESAK atau persiapan rapi. Itulah persoalan yang timbul ekoran tindakan terburu-buru Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) menganjurkan perlawanan persahabatan menentang pasukan dari Yala, Thailand di Pulau Pinang, menjelang Sukan Sea Laos.


Apakah risiko yang diambil persatuan dengan memilih mengetepikan kem latihan pusat kebangsaan anjuran Majlis Sukan Negara (MSN), mampu menjelmakan satu pingat emas seperti yang disasarkan.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong, berkata pihaknya bersetuju membiayai sebahagian kos atlit untuk perlawanan itu kerana pada dasarnya persatuan berhak menentukan fasa latihan atlit mereka.

“Pada masa sama, kami juga ingin lihat mereka berjaya membawa pulang emas selepas tidak menyertai Sukan Sea dua tahun lalu, selain sudah banyak wang kerajaan dilaburkan untuk mereka,” katanya.

Bagaimanapun, satu lagi persoalan timbul iaitu mengapa pasukan Yala. Apakah pemain Yala itu lebih hebat daripada pemain kebangsaan Thailand yang akan bertanding di Sukan Sea Laos yang bermula 8 Disember ini.

Difahamkan, pasukan yang ditaja sepenuhnya oleh PSM ini, pernah ditewaskan skuad PSM ketika di Hanoi, baru-baru ini dan dilihat bertujuan untuk membuktikan kepada pemain bahawa mereka boleh menewaskan pasukan Thailand.

Bagaimanapun, sumber dalaman PSM berkata adalah kurang bijak untuk PSM mengadakan perlawanan itu kerana ia terlalu hampir dengan Sukan Sea. PSM secara mengejut mengadakan latihan pusat diikuti perlawanan berkenaan yang bermula 26 November lalu.

“Kami bimbang atlit akan cedera kerana tempoh persiapan untuk atlit sebenarnya sudah lama berlalu. Waktu ini patut digunakan untuk meningkatkan jati diri dan bersama atlit lain mewujudkan perasaan kebersamaan.

“Andai PSM mahu membuat persiapan rapi, mengapa pasukan wanita diketepikan?,” kata sumber dalaman itu yang turut mendedahkan, kebanyakan jurulatih turut membantah tindakan itu.

Skuad negara Malaysia akan kembali ke Sukan Sea selepas menarik diri daripada temasya Korat 2007 ekoran perbalahan berhubung bola bersalut getah Marathon Gen-II, bola yang kini digunakan sepenuhnya PSM untuk ke Laos.

Daripada empat acara yang dipertandingkan di Laos, Malaysia akan mengambil bahagian dalam regu, berpasukan dan acara beregu. BHARIAN

No comments:

Post a Comment