Friday, September 4, 2009

Muslihat PTAM enggan dedah nama peninju

Oleh Meor Hisham Zulkifli
sham@bharian.com.my

PERSEKUTUAN Tinju Amatur Malaysia (PTAM) cuba mengintai peluang meraih pingat yang lebih berkilau pada Sukan Sea Laos, Disember ini terutama dalam acara yang tidak disertai oleh gergasi tinju serantau, Thailand.

Setiausaha Kehormat PTAM, Mejar Maulud Othman berkata berbeza Sukan Sea di Korat, dua tahun lalu, Laos mensyaratkan sesebuah negara hanya boleh mengambil bahagian dalam enam acara daripada 11 acara dipertandingkan.

“Sebenarnya ia memberi ruang kepada setiap negara mempunyai peluang meraih pingat daripada dimonopoli negara tertentu. Kita sedar Thailand mempunyai ramai petinju hebat dan kita boleh memanfaatkan peluang dalam acara yang tidak mereka sertai.

“Jadi kita ada harapan untuk menambah kilauan pingat berbanding hanya dua perak dan empat gangsa di Korat lalu, namun semua itu memerlukan strategi dan perancangan tepat bagi memastikan kita boleh memanfaatkan acara yang tidak disertai Thailand,” katanya.

Berikutan itu juga, Maulud enggan mendedahkan nama enam peninju yang bakal mengibarkan cabaran negara ke Laos kelak kerana bimbang strategi PTAM segera dihidu pihak lawan, terutama dari negara jiran.

Bagaimanapun, kecuali Zamzai Azizi Mohamad yang menang perak di Korat, kebanyakan atlit Korat berada dalam kelompok pelatih Sukan Sea termasuk Mohamad Farkhan Haron yang turut menang perak.

Difahamkan, Thailand tidak akan mengambil bahagian dalam acara 75 kilogram dan 81 kilogram dan PTAM mungkin akan cuba memanfaatkan dua acara ini.

No comments:

Post a Comment