Friday, September 4, 2009

Khalel Tekad Terpilih Ke Sukan SEA Laos

LANGKAWI, 3 Sept (Bernama) -- Penembak kebangsaan Khalel Abdullah bertekad untuk membuat penampilan sulungnya bagi mewakili negara pada Sukan SEA di Laos, Disember ini.

Khalel, 32, berkata, peluang untuk beraksi pada Sukan SEA ke-25 itu agak cerah kerana beliau kini sedang giat menjalani latihan pusat di Lapang Sasar Menembak Antarabangsa Langkawi (LISRAM) di sini sejak 16 Ogos lepas.

"Walaupun pemilihan penembak mewakili negara belum dibuat namun saya giat berlatih bersama penembak berpengalaman Hasli Izwan Amir Hamzah yang pernah menyertai Sukan Olimpik di China tahun lepas," katanya kepada Bernama di sini.

Khalel dan Hasli Izwan adalah antara 16 penembak dalam acara pistol dan rifle yang sedang menjalani latihan di Lisram sehingga 6 Sept ini.

Khalel yang bertugas sebagai anggota Paskal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) adalah pemenang pingat emas acara Rapid Fire Pistol pada Kejohanan Menembak Terbuka Thailand tahun lepas dan telah menyertai beberapa kejohanan di peringkat antarabangsa antaranya di Jerman, Korea dan China sepanjang tahun ini.

Jurulatih kebangsaan Mohd Hashim Desa berkata, Khalel berpeluang menyertai skuad menembak negara ke Sukan Sea namun segalanya akan ditentukan oleh sebuah jawatankuasa khas pemilihan yang ditubuhkan oleh pihak Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment