
KUALA LUMPUR - Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yakin kontinjen negara mampu meningkatkan pungutan sehingga kepada 40 pingat emas keseluruhan pada Sukan SEA di Laos Disember ini, berbanding antara 30 dan 35 emas yang disasarkan sebelum ini.
Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi berkata, walaupun Malaysia banyak kehilangan pingat kerana banyak acara utama tidak dipertandingkan, angka 40 pingat emas masih mampu dicapai.
Namun, katanya, jumlah itu adalah sasaran yang telah ditetapkan oleh persatuan sukan berdasarkan keupayaan atlet masing-masing.
''Berdasarkan sasaran, olahraga dijangka mampu menyumbang 10 emas, renang pula mungkin satu atau dua emas, manakala terjun mungkin lima atau enam emas.
''Daripada ketiga-tiga acara tersebut kita sudah ada sekitar 18 pingat emas, iaitu sudah lebih daripada separuh (jia berdasarkan jangkaan awal 35 pingat emas).
''Kita menyertai 20 acara sukan, katakan kita dapat lapan emas dalam acara memanah, jumlah sasaran kita menjadi semakin hampir.
''Dalam masa yang sama, kita masih berpeluang menambah jumlah pingat emas menerusi acara tempur seperti karate, silat dan wusyu.
''Jadi saya rasa, jika bola sepak gagal menghadiahkan emas sekalipun, kita masih mampu menambah jumlah emas berbanding apa yang disasarkan tanpa masalah,'' katanya ketika dihubungi, semalam.
Selepas diletakkan dalam kategori A pada Sukan SEA di Korat, Thailand dua tahun lalu, nasib skuad bola sepak negara berubah apabila dilabel dalam kategori B pada temasya di Laos.
Kategori B bermakna, segala perbelanjaan skuad bola sepak untuk menyertai temasya di Laos perlu dibiayai sendiri oleh pihak persatuan dan tuntutan perbelanjaan hanya boleh dibuat jika para pemain membawa pulang sekurang-kurangnya pingat perak.
Tambah Kok Chi, peluang Malaysia untuk menambah lebih daripada 35 emas tetap cerah kerana satu lagi sukan yang menjadi penguasaan Malaysia iaitu taekwondo masih berpeluang layak bertanding di Laos.
''Nasib atlet taekwando ke Sukan SEA akan diputuskan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selepas sesi pemilihan atlet oleh Jawatankuasa Ad-hoc Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA).
''Kita menetapkan sehingga 26 Oktoberini supaya jawatankuasa tersebut menyelesaikan kemelut dalaman mereka sebelum MOM dapat membuat keputusan sama ada akan membenarkan penyertaan mereka,'' katanya.
Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek mengumumkan, sasaran Malaysia pada temasya di Laos ialah 30 hingga 35 emas selepas kehilangan 32 emas apabila acara gimnastik, gimrama, tenpin boling, skuasy, terjun, ekuestrian, hoki lelaki dan wanita, boling padang, polo, pelayaran dan triatlon tidak dipertandingkan.
Mengenai skuad karate kebangsaan yang terpaksa menilai semula sasaran enam pingat emas di Laos apabila Persekutuan Sukan SEA (SGF) merombak kembali peraturan bagi acara tersebut, Kok Chi berkata, tindakan tersebut tidak bertujuan menyekat penguasaan mana-mana negara dalam acara tersebut.
walaupun banyak acara yg digugurkan kali nie, saya yakin Malaysia mampu utk lebih cemerlang kerana itu satu cabaran bukannya pematah semangat, namun begitu respon Dato Menteri amat saya sokong iaitu jika bertanding biarlah tahu akan kemampuan sendiri...so selamat berjuang demi maruah negara
ReplyDelete