KUALA LUMPUR - Berdasarkan pencapaian dalam tiga kejohanan tinju peringkat antarabangsa baru-baru ini, petinju negara sekurang-kurangnya mampu menamatkan kemarau pingat emas buat negara pada Sukan SEA, Laos, Disember ini.
Ini dibuktikan dengan kemampuan beberapa petinju negara yang telah berjaya menyumbangkan pingat emas buat negara dalam kejohanan di India, Thailand dan Australia.
Pada saingan di Australia, April lalu, petinju negara telah memperolehi dua pingat emas menerusi Eddie Kalai bagi kategori 57kg dan seorang lagi petinju pelapis, Muhamad Puad (48kg)
Menurut Setiausaha Agung Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM), Maulud Othman, pihaknya amat berpuas hati dengan pencapaian dan prestasi yang ditunjukkan setiap petinju.
"Mereka telah menunjukkan peningkatan. Ternyata saingan pada kejohanan peringkat antarabangsa memberi banyak manfaat kepada petinju negara untuk berhadapan dengan pihak lawan.
"Penyertaan mereka dalam siri kejohanan antarabangsa membantu meningkatkan reputasi negara yang selama ini tidak mempunyai banyak peluang menyerlah bakat-bakat muda.
"Kejayaan mereka merupakan antara pertaruhan terbaik buat negara untuk melangkah lebih jauh setanding dengan jaguh-jaguh tinju dari Thailand dan juga Laos," katanya ketika dihubungi di sini, kelmarin.
No comments:
Post a Comment