Tuesday, May 12, 2009

Pra-Sukan SEA menghala ke Luang Prabang

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Laos (LAOSOC) mengharapkan sokongan pegawai teknikal daripada Persatuan Lumba Basikal ASEAN (ACA) untuk membantu dalam menganjurkan saingan lebuh raya Pra-Sukan SEA XXV di Vientiane awal November ini.

Bagi tuan rumah Sukan SEA XXV itu, bantuan teknikal terutama dalam pengendalian perlumbaan sebelum temasya pada Disember merupakan suatu keperluan untuk menilai sebarang kelemahan dan kesilapan.

Naib Presiden Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Laos, Kasem Inthara berkata, LAOSOC dengan kerjasama Persatuan Lumba Basikal Laos akan menganjurkan saingan Jelajah Laos dari Vientiane menghala ke Luang Prabang pergi dan balik untuk mencari formula penganjuran yang bermutu dengan bantuan teknikal daripada ACA.

Pada Sukan SEA tahun ini, penganjur hanya menyediakan acara lebuh raya dalam iaitu lepas beramai-ramai lelaki dan wanita serta ujian masa lelaki dan wanita. Manakala bagi acara basikal gunung pula, dua kategori dipertandingkan iaitu menuruni bukit dan rentas desa.

Kasem turut berkata, beliau sudah berbincang dengan ACA yang diketuai oleh Naib Presidennya, Abu Samah Wahab dan Setiausaha Agung, Maniam Manikam baru-baru ini.

"Pihak ACA akan melatih pegawai tempatan sebagai marsyal dan pembantu komisar," katanya di Vientiane minggu lepas.

Maniam yang dihubungi pula berkata, enam komisar dari luar Laos akan mengendalikan perlumbaan sebenar pada temasya ke-25 itu manakala ketua komisar akan dipilih di kalangan negara ASEAN.

Sementara itu, Abu Samah pula membayangkan Malaysia akan memastikan peluang pelumba negara di tahap terbaik apabila bersaing dalam pesta sebenar pertengahan Disember ini.

"Walaupun Malaysia kehilangan acara trek kerana Laos tidak memiliki velodrom, peluang memastikan emas masih terbuka luas bagi skuad basikal Malaysia," katanya yang juga Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia.


UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment