
KUALA LUMPUR - Lima belas atlet wushu negara sedang menjalani latihan selama sebulan di China dalam misi untuk membolehkan skuad kebangsaan merangkul lebih banyak pingat pada Sukan SEA di Laos, Disember ini.
Setiausaha Eksekutif Persekutuan Wushu Malaysia, Winnie Chin Kim Yoong berkata, sesi latihan itu dikendalikan oleh jurulatih kebangsaan, Yoong Thong Foong dengan dibantu oleh dua jurulatih dari China, Liu Hen Ling dan Qin Gan.
"Atlet ini akan menjalani latihan di tiga wilayah iaitu Fushou, Nanning dan Guangzhou mengikut disiplin wushu mereka," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini semalam.
Tiga daripada atlet itu - Tai Cheau Suen, Kimberly Goh Yuen dan Foong Foo Mun, akan menyertai Kejohanan Wushu Asia Kelima di Macau pada 5 hingga 10 Jun nanti.
Atlet lain yang sedang berlatih di China ialah Ang Eng Chong, Lee Yang, Chai Fong Ying, Ng Shin Yii, Bong Siang Lim, Chai Fong Wei, Ng Say Yoke, Loh Jack Chang, Ho Mun Hua, Ali Alami Adzhar, Foong Chui Theng dan Yeap Wai Kin.
Menurut Winnie selain Kejohanan Wushu Asia, pihak persekutuan juga akan menghantar 10 atlet untuk menyertai Kejohanan Wushu Dunia di Toronto, Kanada yang dijadualkan pada 24 hingga 29 Oktober ini. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment